Bahasa Malaysia | English

Berita RTM

19 April 2015

IKS DIGESA MOHON KEMUDAHAN PEMBIAYAAN DI BAWAH SKIM JAMINAN

Kuala Lumpur - Perusahaan Kecil dan Sederhana digalakkan memohon kemudahan pembiayaan di bawah dua skim jaminan iaitu Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SJSP) dan Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir (SJPBB).

SJSP adalah untuk IKS dalam sektor perkhidmatan yang dijangka menyumbang lebih banyak kepada dagangan antarabangsa Malaysia, manakala SJPBB pula terbuka kepada kesemua IKS yang terjejas akibat banjir.

SJSP membolehkan IKS mempunyai akses kepada pembiayaan perbelanjaan modal kerja pada paras minimum RM100,000 dan sehingga RM5 juta bagi setiap syarikat.

Jaminan keseluruhan RM5 bilion diperuntukkan bagi tujuan berkenaan dan skim itu diuruskan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

SJPBB pula untuk membantu mewujudkan semula perniagaan IKS yang terjejas akibat banjir di kawasan bencana mengikut takrifan Majlis Keselamatan Negara.

Menurut Pegawai Utama dan Pengarah SJPP Dr Nungsari Ahmad Radhi, jaminan itu akan membantu IKS dalam mendapatkan kemudahan dari institusi kewangan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mereka yang layak dan berminat boleh menghantar permohonan melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian, memandangkan kedua-dua skim itu telah dilancarkan.