SJPP V2    

Bahasa Malaysia | English

Bernama

19 Mac 2013

SJPP LULUSKAN RM669 JUTA JAMINAN PEMBIAYAAN SETAKAT 28 FEB

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) - Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), setakat 28 Feb, telah meluluskan jaminan pembiayaan bernilai sehingga RM669.91 juta di bawah Skim Jaminan Modal Kerja Rancangan Malaysia ke-10 (WCGS RMK10) untuk 718 syarikat Bumiputera dari pelbagai sektor bagi mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka.

SJPP dalam kenyataan Selasa berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada RM1.5 bilion yang diperuntukkan untuk syarikat Bumiputera di bawah skim jaminan RM3 bilion, yang diperkenalkan pada 2011.

Sejumlah RM1.5 bilion jaminan lagi di bawah skim itu diperuntukkan untuk syarikat bukan Bumiputera.

"Peruntukan khusus itu ialah untuk membolehkan syarikat-syarikat Bumiputera, terutamanya syarikat kecil dan sederhana, untuk terus mendapatkan akses kepada kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan," katanya.

Bagaimanapun, ia berkata setiap permohonan tertakluk kepada kelulusan daripada bank yang berkolaborasi dengan SJPP, sebelum dihantar kepada syarikat untuk kelulusan jaminan itu.

Setakat ini, sejumlah 35 institusi kewangan, terdiri daripada bank komersil, bank Islam dan institusi pembangunan telah bekerjasama dengan SJPP untuk melaksanakan skim itu, yang masih mempunyai baki peruntukan jaminan berjumlah RM830.09 juta.

Sementara itu, Prokhas Sdn Bhd, jentera tujuan khas milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk mentadbir skim berkenaan berkata, syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, seharusnya merebut peluang, kerana ia membolehkan mereka untuk lebih berdaya saing.

"Selain daripada membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan, ia juga akan membantu dan meningkatkan penyertaan perusahaan Bumiputera dalam pelbagai sektor," kata Pemangku Pengarah Urusannya, Datuk Kamal Mohd Ali.

Beliau berkata yang permohonan untuk skim ini akan berakhir pada 31 Dis ataupun sehingga peruntukan RM1.5 bilion dimanfaatkan sepenuhnya, yang mana terdahulu.

Usahawan yang berminat boleh menghubungi institusi kewangan yang menyertai ataupun para pegawai SJPP di talian 03-2096 5000 atau layari laman sesawang SJPP di www.sjpp.com.my untuk pertanyaan lanjut.