Bahasa Malaysia | English

Maklumat Am berkenaan SJPBB

  • 1. Apakah yang dimaksudkan dengan Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir (“SJPBB”)?

    Skim ini diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu memulihkan syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) yang terjejas di kawasan yang dikenalpasti oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri sebagai kawasan bencana banjir.
  • 2. Apa itu SJPBB?

    SJPBB adalah skim yang menyediakan perbelanjaan operasi (OPEX), modal kerja (working capital) dan perbelanjaan modal (CAPEX) untuk penggantian mesin / peralatan yang rosak untuk syarikat-syarikat PKS berdaya maju daripada semua sektor yang mempunyai pemegang saham ekuiti kurang daripada RM20.0 juta dimana institusi-institusi kewangan akan menyediakan kemudahan pembiayaan dan Kerajaan Malaysia akan menjamin sebahagian daripada kemudahan pembiayaan tersebut. Jaminan ini adalah khusus untuk operasi tempatan sahaja.
  • 3. Bagaimana jaminan ini berfungsi?

    Melalui program ini, Kerajaan Malaysia akan berkongsi risiko kredit dengan institusi-institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada syarikat-syarikat yang layak, melalui perlindungan jaminan yang diberikan kepada institusi kewangan.

    Ini akan menggalakkan institusi-institusi kewangan untuk terus memberikan pembiayaan kepada perniagaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat bencana banjir dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang dan berdaya maju.

  • 4. Bilakah SJPBB bermula?

    Permohonan untuk SJPBB bermula 6 bulan dari 1 April 2015 iaitu tarikh ia berkuatkuasa.
  • 5. Apakah yang dimaksudkan dengan Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)?

    Maksudnya merujuk kepada garis panduan baru maksud Syarikat PKS yang dikeluarkan oleh SME Corp Malaysia dan disahkan oleh National SME Development Council.
  • 6. Apakah yang dimaksudkan dengan Syarikat Berstatus Bumiputera?

    Untuk mematuhi Syarikat Berstatus Bumiputera dibawah SJPBB, syarikat mestilah mempunyai 51% pegangan saham Bumiputera pada 31 Disember 2014.
  • 7. Siapakah yang layak memohon Skim ini?

    Semua syarikat PKS yang mempunyai dana pemegang saham tidak melebihi RM20.0 juta.
  • 8. Bolehkah syarikat-syarikat yang telah menikmati Skim SJMK dan SJMK RMK10 terdahulu memohon lagi untuk Skim SJPBB?

    Ya.
  • 9. Institusi-institusi kewangan yang manakah menyertai Skim SJPBB?

    Semua bank komersial, bank Islam serta institusi pembangunan kewangan yang telah menyertai SJMK dan SJMK RMK10 terdahulu turut mengambil bahagian dalam Skim SJPBB.
  • 10. Apakah dimaksudkan dengan perniagaan berdaya maju?

    Perniagaan berdaya maju bermaksud sebuah perniagaan yang boleh menghasilkan aliran tunai daripada operasi perniagaannya untuk membayar tanggungan kewangan. Institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian mempunyai hak untuk menilai dan menentukan sama ada pemohon memenuhi kriteria kelayakan ini.
  • 11. Apakah dimaksudkan dengan Pemegang Saham Ekuiti?

    Ia bermaksud Dana Pemegang Saham menurut laporan kewangan terbaru yang telah diaudit, iaitu 18 bulan dari tarikh permohonan dibuat.
  • 12. Adakah syarikat-syarikat yang termasuk dalam golongan Kumpulan atau Konglomerat boleh memohon kemudahan pembiayaan dibawah Skim ini?

    Kemudahan pembiayaan ini ditawarkan untuk syarikat-syarikat yang memerlukan, oleh yang demikian, syarikat dalam kumpulan yang mampu untuk menyediakan dana atau boleh menanggung subsidiarinya daripada segi kewangan, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan dana daripada kumpulan ataupun konglomerat masing-masing.
  • 13. Apakah yang dimaksudkan dengan Kumpulan atau Konglomerat?

    Ia bermaksud syarikat yang mempunyai syarikat pegangan atau syarikat utama yang sama.
  • 14. Adakah institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian dibenarkan untuk memberi kemudahan Surat Kredit Tunggu Sedia kepada para pelanggan yang berhasrat untuk mengembangkan operasi perniagaan ke luar negara?

    SJPBB adalah untuk operasi tempatan sahaja.
  • 15. Adakah jaminan tersebut terikat dengan Kerajaan Malaysia?

    Ya. Mengikut peruntukan Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) jaminan yang melibatkan liabiliti kewangan ke atas pihak Kerajaan akan terikat dengan Kerajaan dengan syarat jaminan tersebut dikeluarkan secara bertulis dibawah kuasa pihak Perbendaharan atau mengikut peruntukan undang-undang persekutuan.
  • 16. Bagaimanakah sekiranya Kerajaan Malaysia gagal untuk membayar?

    Situasi ini tidak mungkin berlaku kerana dana untuk Skim Jaminan ini telah diperuntukkan dalam semakan Belanjawan 2015 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 20 Januari 2015.

    Bahkan, dalam Pakej Rangsangan SJMK dan SJMK RMK10 terdahulu, Kerajaan Malaysia telah membayar tuntutan oleh institusi-institusi kewangan sebanyak RM216.29 juta.

  • 17. Apakah prosedur untuk memohon kemudahan pembiayaan dibawah Skim ini?

    Sekiranya pelanggan berminat dengan Skim ini, sila lakukan seperti berikut:

    1. Pastikan perniagaan mereka layak untuk kemudahan pembiayaan dengan merujuk kepada pihak bank mereka sendiri ataupun mana-mana institusi kewangan yang menyertai Skim SJPBB ini.

    2. Memohon kemudahan pembiayaan ini di institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.

    3. Sediakan dokumen-dokumen penting yang diperlukan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.

    4. Setelah kemudahan pembiayaan diluluskan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini, salinan dokumen kelulusan pembiayaan akan diserahkan kepada SJPP untuk perlindungan jaminan.

Mengenai Pembiayaan

  • 1. Apakah had pembiayaan bagi Skim SJPBB?

    Had pembiayaan maksimum ialah RM2.0 juta manakala had pembiayaan minimum ialah RM50,000.
  • 2. Apakah perlindungan jaminan bagi Skim SJPBB?

    Perlindungan jaminan adalah 70% oleh Kerajaan Malaysia di atas jumlah pembiayaan yang diberi oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.
  • 3. Apakah tujuan pembiayaan?

    Tujuan pembiayaan adalah untuk perbelanjaan operasi (OPEX), modal kerja (working capital) dan perbelanjaan modal (CAPEX) untuk penggantian mesin/ peralatan yang rosak. Pembiayaan ini tidak boleh digunakan sebagai pembiayaan semula (refinancing) pinjaman-pinjaman sedia ada di institusi-institusi kewangan yang sama atau lain.

    Institusi kewangan yang terlibat bersama SJPP akan bertanggungjawab untuk menentukan ketulenan peminjam mengikut polisi penilaian kredit dan prosedur masing-masing.

  • 4. Apakah tempoh pembiayaan di bawah Skim SJPBB?

    Tempoh pembiayaan adalah lima (5) tahun atau sehingga 31 Disember 2020, yang mana lebih awal.
  • 5. Berapakah yuran jaminan yang perlu dibayar?

    Yuran jaminan yang perlu dibayar adalah sebanyak 0.5% setahun di mana ia perlu dibayar terlebih dahulu semasa pembiayaan diluluskan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.
  • 6. Berapakah kadar faedah yang dikenakan?

    Kadar faedah akan ditentukan oleh institusi-institusi kewangan yang memberi pembiayaan.
  • 7. Berapa lamakah masa diperlukan untuk SJPP mengeluarkan perlindungan jaminan?

    SJPP akan mengeluarkan perlindungan jaminan dalam masa 10 hari bekerja dari tarikh penerimaan permohonan jaminan daripada institusi kewangan.
  • 8. Adakah SJPP akan membuat penilaian semula keatas pembiayaan yang telah diluluskan oleh institusi kewangan sebelum mengeluarkan jaminan?

    SJPP akan membuat penilaian menyeluruh dan meneliti dokumen kelulusan pembiayaan yang dihantar oleh institusi-institusi kewangan dan menyemak had keseluruhan skim jaminan sebelum mengeluarkan kelulusan jaminan.
  • 9. Selepas mengetahui berkenaan Skim ini, adakah pelanggan dibenarkan untuk memohon pembiayaan mereka untuk diletakkan dibawah Skim ini?

    Ya, pelanggan boleh membuat permohonan pembiayaan tersebut. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan institusi kewangan sama ada untuk membuat permohonan di bawah Skim ini atau sebaliknya.
  • 10. Bilakah institusi kewangan boleh membuat tuntutan untuk jaminan tersebut? (Tempoh tuntutan yang dibenarkan)

    Notis Penamatan Pembiayaan mestilah dikeluarkan dahulu ke atas kemudahan pembiayaan kepada pelanggan disusuli dengan Notis Tuntutan. Kedua-dua Notis mestilah dibuat dalam tempoh Jaminan masih sah (within validity period of guarantee).
  • 11. Ke manakah tuntutan tersebut diserahkan?

    Institusi kewangan akan menyerahkan tuntutannya kepada SJPP, di mana selepas itu SJPP akan menyerahkan tuntutan tersebut kepada Kerajaan Malaysia untuk tujuan pembayaran.
  • 12. Apakah yang akan berlaku sekiranya SJPP gagal atau menolak untuk membayar tuntutan?

    Tiada alasan bagi SJPP untuk tidak membayar tuntutan tersebut kerana matlamat penubuhannya adalah khusus untuk melaksanakan keputusan Kerajaan Malaysia.
  • 13. Siapakah yang akan membayar tuntutan tersebut?

    Kerajaan Malaysia melalui SJPP.
  • 14. Bilakah tuntutan tersebut akan dibayar?

    Tuntutan tersebut akan dibayar dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan Notis Tuntuan oleh SJPP tertakluk kepada semua dokumen-dokumen diterima dengan sepenuhnya dan tahap aktiviti litigasi terhadap pelanggan di tahap yang ditetapkan oleh SJPP.
  • 15. Adakah institusi kewangan perlu membuat tindakan/prosiding undang-undang dan/atau prosiding penebusan / gadaian terlebih dahulu sebelum menyerahkan Notis Tuntutan kepada SJPP?

    Ya. Selepas Notis Penamatan Pembiayaan dikeluarkan ke atas kemudahan pembiayaan kepada pelanggan, institusi kewangan perlu membuat tindakan/prosiding undang-undang dan/atau prosiding penebusan / gadaian. Dimasa yang sama institusi kewangan boleh menyerahkan Notis Tuntutan kepada SJPP. Walau bagaimanapun, selepas tuntutan dibayar oleh SJPP, pihak institusi kewangan mestilah meneruskan tindakan pemulihan untuk mendapat pembayaran balik pembiayaan daripada pelanggan. Semua hasil yang diterima selepas Notis Tuntutan dibuat hendaklah dikongsi dengan SJPP mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 16. Bolehkah pihak institusi kewangan menstruktur semula pembiayaan?

    Ya, institusi kewangan digalakkan untuk menstruktur semula pembiayaan tersebut berdasarkan polisi dalaman mereka. Sekiranya penstrukturan semula dilakukan selepas tempoh tuntutan, kesemua hasil yang diterima hendaklah dikongsi dengan SJPP mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 17. Apakah yang akan terjadi sekiranya pembiayaan disubrogasikan kepada SJPP?

    Setelah subrogasi, SJPP akan meneruskan tindakan pemulihan ke atas pelanggan bagi pihak SJPP. Sebarang kutipan oleh SJPP akan dikongsi bersama pihak institusi kewangan berdasarkan peratusan perlindungan jaminan.
  • 18. Apakah yang akan terjadi kepada hak institusi-institusi kewangan ke atas pelanggan sekiranya pengurus pemulihan dilantik?

    Sekiranya satu pihak lain dilantik sebagai pengurus pemulihan, maka sebarang hasil daripada pungutan yang diterima akan diagihkan kepada institusi-institusi kewangan mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 19. Apakah yang akan terjadi sekiranya pelanggan membuat pembayaran selepas tuntutan telah dibayar?

    Sekiranya institusi-institusi kewangan menerima pembayaran daripada pelanggan, institusi-institusi kewangan tersebut perlu mengagihkan jumlah yang diterima mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 20. Apakah yang dimaksudkan dengan “Laporan Pembiayaan Tertunggak”?

    Ia adalah laporan yang perlu dihantar kepada SJPP mengenai pembiayaan tertunggak / tidak berbayar untuk tempoh melebihi 1 bulan
  • 21. Mengapakah SJPP mengenakan denda sebanyak RM100.00 bagi pembatalan permohonan keatas institusi kewangan dan siapakah yang akan menanggung kos tersebut?

    Melalui skim SJMK dan SJMK RMK10 yang terdahulu, SJPP mendapati bahawa terdapat pelanggan yang membuat perbandingan kemudahan pembiayaan bank dan membatalkan permohonan yang telah diluluskan bagi membolehkan mereka membuat permohonan yang baru di institusi kewangan yang berlainan. Denda pembatalan sebanyak RM100.00 dikenakan untuk mengelakkan situasi di atas daripada berlaku.
  • 22. SJPP akan membatalkan kelulusan jaminan ke atas pembiayaan yang tidak dikeluarkan melebihi 6 bulan dan akan turut mengenakan caj sebanyak RM100.00. Mengapa?

    Kebanyakan kelulusan pembiayaan sebahagiannya dicagar dengan deposit tunai dan jaminan daripada para pengarah sementara hanya segelintir kelulusan yang melibatkan proses dokumentasi cagaran. SJPP tidak melihat kemungkinan pembiayaan dikeluarkan melebihi 6 bulan selepas kelulusan. Caj yang dikenakan adalah untuk membiayai kos pentadbiran selain menampung kerugian pendapatan yuran jaminan.
  • 23. Caj perkhidmatan sebanyak RM100.00 turut dikenakan bagi Penggantian Sijil Jaminan?

    Ya, bagi menampung kos-kos pentadbiran SJPP.