Bajet 2018 legakan golongan muda, kurangkan kos sara hidup

Berita Harian Online

27 Oktober 2017

BAJET 2018 LEGAKAN GOLONGAN MUDA, KURANGKAN KOS SARA HIDUP

AYER KEROH: Pembentangan Bajet 2018, hari ini memberi kelegaan kepada golongan muda, terutama dalam mengurangkan kos sara hidup.

Pelbagai insentif diberikan kerajaan kepada golongan itu yang secara tidak langsung membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik pada masa depan.

Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Ridhwan Mohd Ali, berkata antara insentif yang paling memberi kesan kepada orang muda adalah berkaitan pembangunan ekonomi, seperti Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk modal kerja dan sektor perkhidmatan dengan pinjaman di bawah skim itu membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengautomasikan pengeluaran.

Selain itu, katanya, Pembiayaan PKS Patuh Syariah dengan subsidi kadar keuntungan dua peratus serta Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) memberi manfaat bagi usahawan Bumiputera desa.

"Turut diberi perhatian meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), meneruskan pembiayaan Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) serta menaikkan jumlah pinjaman maksimum pelajar keluarga B40.

"Keluhan orang muda juga diambil peduli oleh Perdana Menteri menerusi pengumuman pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik serta pengecualian cukai ke atas sewaan sebanyak 50 peratus bagi sewaan sehingga RM2,000.

"Ia membantu mengurangkan beban golongan itu, terutama yang tinggal di kawasan bandar," katanya selepas menyaksikan pembentangan Bajet 2018 bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Mohd Ridhwan yang juga EXCO Majlis Belia Malaysia (MBM) juga turut menyifatkan bajet kali ini menjurus kepada masa depan orang muda.

"Tidak dinafikan, majoriti insentif Bajet 2018 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak adalah untuk generasi muda yang bakal mengemudi negara," katanya.

Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/342853/bajet-2018-legakan-golongan-muda-kurangkan-kos-sara-hidup