Bajet 2019 tumpu perkasa perniagaan digital – Pertunas

Bernama

2 November 2018

Bajet 2019 tumpu perkasa perniagaan digital – Pertunas

KUALA TERENGGANU, 2 Nov (Bernama) -- Kerajaan membuktikan keprihatinan terhadap usahawan dalam talian apabila memperkenalkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion dalam Belanjawan 2019.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), Amir Hakimin Che Razali berkata langkah itu seiring dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran sumbangan e-dagang sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ketika ini, e-dagang hanya menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada KDNK berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat dan China, masing-masing 30 peratus dan 21 peratus.

"Sehubungan itu, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan kemudahan jaringan internet yang tinggi dan teknologi maklumat semaksimum mungkin.

“Ini kerana sektor PKS mempunyai potensi untuk tumbuh antara satu dan dua peratus jika e-dagang digunakan sebagai medium untuk menjalankan perniagaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut memuji langkah kerajaan yang menyediakan jaminan sehingga RM4.5 bilion bagi pelbagai skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dengan jaminan sehingga 60 peratus berbanding RM1.5 bilion pada 2018.

Katanya Belanjawan 2019 merupakan belanjawan berhemat dan dana yang disediakan lebih kepada sektor berimpak tinggi untuk memastikan prestasi PKS terus berada pada landasan pertumbuhan sedia ada sehingga suku keempat 2019.

"Pertumbuhan tersebut dijangka disokong oleh aktiviti penggunaan domestik dan pelancongan dalam negeri, yang berkait rapat dengan prestasi PKS," katanya.

Sementara itu, Ketua Usahanita Daerah Kuala Terengganu, Suzana Salleh, 44, berkata beliau akan membuat permohonan melalui Skim Pembiayaan PKS patuh Syariah yang disediakan dalam Belanjawan 2019.

"Sebagai syarikat pengeluar kek dan roti terbesar di Terengganu, saya yakin skim pembiayaan ini akan meningkatkan lagi produktiviti kami sebagai usahawan Islam selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan industri eksport halal ke luar negara," katanya.

-- BERNAMA

Web source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1661102