#Bajet: RM7 Bilion Diperuntukkan Di Bawah SJPP Bagi PKS Sumbang 41 Peratus Kepada KDNK

Bernama Online

27 Oktober 2017

#BAJET: RM7 BILION DIPERUNTUKKAN DI BAWAH SJPP BAGI PKS SUMBANG 41 PERATUS KEPADA KDNK

KULA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bajet 2018 memperuntukkan RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebagai antara langkah bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, berkata daripada jumlah tersebut, RM5 bilion bagi modal kerja dan RM2 bilion dengan 70 peratus jaminan kerajaan bagi sektor perkhidmatan, termasuk Revolusi Perindustrian 4.0.

"Satu jumlah yang besar diberi buat julung kalinya, sebanyak RM1 bilion sebagai pinjaman kepada syarikat dengan 70 peratus jaminan oleh kerajaan.

"Pinjaman ini disediakan di bawah SJPP bagi membolehkan PKS mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan penggajian pekerja asing," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata tambahan RM1 bilion disediakan bagi Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah, menjadikan saiz dana kepada RM2.5 bilion.

Web source: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1404593