Bank Islam bantu vendor Petronas

Kosmo

8 May 2018

BANK ISLAM BANTU VENDOR PETRONAS


KHAIRUL (tiga dari kanan) bergambar bersama wakil daripada Petronas dan SJPP di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) telah menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor-vendor Petronas melalui Program Vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, program tersebut melibatkan syarikat minyak nasional, Petronas dan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

“Bank Islam komited untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem kewangan dalam menyediakan penyelesaian berkaitan kepada vendor-vendor OGSE.

“Kami berminat menyediakan pilihan pembiayaan kepada para vendor sebagai menambah nilai sektor terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan sempena pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak tersebut di sini semalam.

Menandatangani bagi pihak Petronas ialah Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan, Samsudin Miskon, Bank Islam dan SJPP masing-masing diwakili Ketua Perbankan Komersial, Abdul Rashid Abdul Hamid dan Pengurus Besar Kanan, Chen Yin Heng.

Pemeteraian perjanjian itu turut disaksikan oleh Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Khairul dan Pegawai Utama SJPP, Dr. Nungsari Ahmad Radhi.

Di bawah perjanjian tersebut, SJPP yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan akan berperanan sebagai penyedia jaminan kredit dengan menyediakan lebih 70 peratus jaminan kepada vendor-vendor PKS OGSE yang layak untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Petronas akan mempromosikan kemudahan pembiayaan yang disediakan kepada vendor-vendor PKS di bawahnya, selain mengesahkan kontrak dan maklumat vendor.

Sehingga bulan Mac 2018, Bank Islam telah menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah kira-kira RM2.9 bilion yang memanfaatkan 1,235 pelanggan PKS.

Web source: http://www.kosmo.com.my/niaga/bank-islam-bantu-vendor-petronas-1.668139