Bank Islam, Petronas Dan SJPP Meterai Memorandum Persefahaman Bagi Membantu Vendor Petronas Melalui Program Pembiayaan Vendor PKS

Bernama

7 May 2018

BANK ISLAM, PETRONAS DAN SJPP METERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN BAGI MEMBANTU VENDOR PETRONAS MELALUI PROGRAM PEMBIAYAAN VENDOR PKS


Kapsyen: Berdiri dari kiri ke kanan: En. Mazuin Ismail, Timbalan Presiden Kanan, Perlaksanaan Projek & Teknologi, PETRONAS; Puan Norliza Nawi, Pengurus Besar Kanan, Projek Korporat, PETRONAS; Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PETRONAS; En. Samsudin Miskon, Timbalan Presiden, Perolehan Kumpulan, PETRONAS; En. Abdul Rashid Abdul Hamid, Ketua Perbankan Komersial, Bank Islam; En. Chen Yin Heng, Pengurus Besar Kanan, SJPP; Datuk Zamani Abdul Ghani, Pengerusi Bank Islam; Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pegawai Utama, SJPP; En. Khairul Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Islam; Puan Juanita Rusmini Abdul Jalil, Pengurus Besar, SJPP; Puan Noorshiha Mohammad, Penolong Pengurus Besar, SJPP.

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (“MOU”) dengan Petroliam Nasional Berhad (“PETRONAS”) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (“SJPP”) bagi menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor PETRONAS melalui Program Pembiayaan Vendor PKS bertujuan untuk memberi manfaat kepada sektor Pekhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (“OGSE”) tempatan.

Sektor PKS mencatat 97% jumlah perniagaan di Malaysia dan 65% tenaga kerja. Segmen ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) negara sebanyak 36% dan 18% eksport Malaysia. Sehingga Mac 2018, Bank Islam telah membiaya 1,235 pelanggan PKS dengan jumlah pembiayaan kira-kira RM2.9 bilion. Dengan hasrat untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan kecairan penggiat sektor OGSE, Bank Islam, PETRONAS dan SJPP berkerjasama melalui Program Pembiayaan Vendor PKS, terbuka kepada PKS tempatan yang telah mendapat kontrak dengan PETRONAS dan menepati penilaian kredit oleh Bank Islam serta kelayakan dan kriteria SJPP.

Menandatangani bagi pihak PETRONAS ialah Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan, Encik Samsudin Miskon dan Bank Islam diwakili oleh Ketua Perbankan Komersial, Encik Abdul Rashid Abdul Hamid. Manakala SJPP pula di wakili oleh Pengurus Besar Kanannya, Encik Chen Yin Heng.

Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS; Encik Khairul Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam dan Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pegawai Utama SJPP.

Encik Khairul Kamarudin berkata, “Bank Islam telah mengambil pendekatan realistik ke arah menghasilkan produk-produk berinovasi bagi memenuhi keperluan Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”). Melalui kerjasama ini, kami dapat memberikan khidmat kepada ekonomi sebenar (real economy) yang mana ia mewakili salah satu inisatif pengantaraan berasaskan nilai (value-based intermediation) kami serta menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan dan meransang pertumbuhan perniagaan PKS di negara ini. Kami juga komited untuk memberi khidmat kepada perusahaan-perusahaan besar serta masyarakat, lantas menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan kesejahteraaan sosial.”

Timbalan Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek & Teknologi, PETRONAS, Encik Mazuin Ismail berkata, “PETRONAS memulakan kerjasama ini sebagai sebahagian daripada langkah yang diambil untuk mengekalkan ketahanan sector OGSE Malaysia. Kami menghargai kerjasama yang dibuat dengan Bank Islam dan SJPP dan kami percaya ia akan mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh vendor OGSE.”

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, SJPP, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, akan bertindak sebagai penyedia jaminan kredit. SJPP akan menyokong program ini dengan menyediakan lebih dari 70 peratus jaminan kredit kepada vendor-vendor PKS OGSE yang layak untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan. Sebagai rakan kerjasama, peranan PETRONAS adalah untuk mempromosikan kemudahan pembiayaan ini kepada vendor PKS mereka, di samping mengesahkan kontrak dan maklumat vendor.

Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pegawai Utama, SJPP berkata, “Kerajaan komited membantu perniagaan-perniagaan PKS dan telah menyediakan bantuan secara berterusan dalam membangunkan PKS melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan, termasuk skim jaminan Kerajaan yang diurus oleh SJPP. Sehingga kini, sebanyak 15,780 PKS telah menerima manfaat daripada pelbagai skim di bawah SJPP. Kami mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana institusi kewangan dan pihak-pihak lain yang boleh menepati mandat kami untuk membantu sebanyak mungkin penggiat pasaran PKS kerana industri PKS disasarkan untuk menyumbang 41% kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020 seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk PKS.

Bank Islam komited untuk menjadi sebahagian dari ekosistem kewangan dalam menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor OGSE. Kami berminat menyediakan pilihan pembiayaan kepada para vendor, sebagai salah satu daripada pelbagai cara yang boleh menambah nilai kepada sektor ini. Pihak Bank amat berbangga dengan pendekatan inovatifnya terhadap perkhidmatan pelanggan dengan menawarkan liputan rangkaian dan keupayaan yang paling luas untuk menyokong keperluan sektor OGSE. Program ini juga membantu promosi produk sedia adanya terutama kemudahan pembiayaan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan PKS untuk perolehan dan kontrak khusus mereka.

Web source: http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=11108