Bank Islam, Petronas, SJPP Meterai MoU bantu Vendor Petronas

Bernama

7 May 2018

BANK ISLAM, PETRONAS, SJPP METERAI MOU BANTU VENDOR PETRONAS

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan bekerjasama untuk menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor Petronas di seluruh negara menerusi Program Pembiayaan Vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ini berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) hari ini antara ketiga-tiga pihak yang bertujuan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan kecairan kepada sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

Dalam satu kenyataan bersama, pihak terbabit berkata, program pembiayaan itu dibuka kepada PKS Malaysia, yang mempunyai kontrak dengan Petronas dan mematuhi penilaian kredit Bank Islam serta kelayakan dan kriteria SJPP.

PKS yang masing-masing membentuk 97 peratus dan 65 peratus daripada jumlah syarikat perniagaan dan pekerjaan di Malaysia, menyumbangkan 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Melalui kerjasama ini, kita dapat menyumbang kepada ekonomi yang mewakili salah satu inisiatif pengantaraan berasaskan nilai kita, di samping menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkat dan merangsang pertumbuhan perniagaan PKS di negara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin.

Web source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1462233