Bank Islam salur RM2.9 bilion kepada 1,235 PKS

Utusan

8 May 2018

BANK ISLAM SALUR RM2.9 BILION KEPADA 1,235 PKS


DARI kiri: Mazuin Ismail, Norliza Nawi, Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Samsudin Miskon, Abdul Rashid Abdul Hamid, Chen Yin Heng, Zamani Abdul Ghani, Nungsari Ahmad Radhi, Khairul Kamarudin, Juanita Rusmini Abdul Jalil dan Penolong Pengurus Besar SJPP, Noorshiha Mohammad di majlis menandatangani (MoU) antara Bank Islam, Petronas dan SJPP di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mei – Setakat Mac 2018 Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah membiayai 1,235 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.9 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, PKS mencatatkan 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan menyediakan 65 peratus tenaga kerja.

Sehubungan itu beliau berkata, Bank Islam bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) melalui Program Pembiayaan Vendor PKS bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan terutama dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

“Program ini terbuka kepada PKS tempatan yang telah mendapat kontrak dengan Petronas dan menepati penilaian kredit oleh Bank Islam serta kelayakan dan kriteria SJPP. Melalui kerjasama ini, kami dapat memberikan khidmat kepada ekonomi sebenar yang mana ia mewakili satu daripada inisiatif pengantaraan berasaskan nilai.

“Kami juga komited untuk memberi khidmat kepada perusahaan besar serta masyarakat sekali gus menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan kesejahteraan sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) antara Petronas, Bank Islam dan SJPP ditandatangani masing-masing oleh Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Samsudin Miskon, Ketua Perbankan Komersial Bank Islam, Abdul Rashid Abdul Hamid serta Pengurus Besar Kanan SJPP, Chen Yin Heng dan disaksikan oleh Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Khairul dan Pegawai Utama SJPP, Dr. Nungsari Ahmad Radhi.

Turut hadir, Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani; Pengurus Besar Kanan Projek Korporat Petronas, Norliza Nawi dan Pengurus Besar SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Mazuin Ismail berkata, kerjasama berkenaan adalah sebahagian dari¬pada langkah yang diambil untuk mengekalkan daya tahan sektor OGSE.

“Kami menghargai kerjasama yang dibuat dengan Bank Islam dan SJPP serta percaya ia akan mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh vendor OGSE,” katanya.

Sementara itu, Dr. Nungsari berkata, SJPP menyediakan lebih daripada 70 peratus jaminan kredit kepada vendor PKS OGSE yang layak untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.

“Sehingga kini sebanyak 15,780 PKS telah menerima manfaat daripada pelbagai skim di bawah SJPP. Kerajaan komited untuk membantu perniagaan PKS dan menyediakan pelbagai bantuan secara berterusan melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan termasuk skim jaminan kerajaan yang diurus oleh SJPP,” ujarnya.

Web source: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/bank-islam-salur-rm2-9-bilion-kepada-1-235-pks-1.668070