Bank Islam sasar portfolio perbankan PKS meningkat

BH Online

5 September 2019

Bank Islam sasar portfolio perbankan PKS meningkat

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd menjangkakan portfolio perbankan perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) meningkat kepada RM50 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang susulan pelancaran program baharu khusus untuk wanita, yang dikenali sebagai ‘WinBiz’.

Program WinBiz yang dilaksanakan bulan depan bermatlamat untuk meneroka segmen pasaran baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan yang ketara serta meningkatkan akses kepada penyelesaian kewangan kepada segmen PKS yang lebih khusus, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed.

“Selaras dengan visi untuk menjadi bank yang meningkatkan kemakmuran untuk semua, kami komited untuk membantu PKS dengan menawarkan produk inovatif yang akan membolehkan perniagaan mereka mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya pada pelancaran produk itu.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Mohd Muazzam, pelanggan WinBiz dapat menikmati kemudahan kewangan seperti pembiayaan berjangka sehingga RM1 juta dengan tempoh pembayaran sehingga tujuh tahun.

Kemudahan pembiayaan ini dijamin 70 peratus oleh kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd.

Program ini menawarkan pelbagai kemudahan perbankan yang memenuhi keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal bagi perniagaan sendirian berhad milik wanita.

-BERNAMA

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/09/603879/bank-islam-sasar-portfolio-perbankan-pks-meningkat