Belanjawan 2019 tidak pinggir PKS

Sinar Harian Online

3 November 2018

Belanjawan 2019 tidak pinggir PKS

SHAH ALAM - Pelbagai galakan serta insentif yang disalurkan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Belanjawan 2019 membuktikan sektor berkenaan yang merangkumi 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan Malaysia terus mendapat galakkan kerajaan.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan PKS, Prof Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata, Belanjawan kali ini sekali lagi tidak meminggirkan kumpulan PKS dan ini satu lagi lanjutan yang positif.

Menurutnya, ini memang seharusnya dilaksanakan kerajaan untuk memberi kemudahan kepada kumpulan ini. Ia satu peruntukan yang munasabah.

“Ini kerana untuk ke arah negara maju, Malaysia khususnya tidak semata-mata bergantung kepada syarikat-syarikat besar dan PKS itu sendiri memang menyumbang banyak ke arah itu.

“Tapi apa yang dikhuatiri di sini adalah mekanisme perlaksanaan sesuatu peruntukan itu, adakah syarat-syarat yang diletakkan itu friendly dengan kumpulan PKS, jika itu tidak berlaku, akhirnya kumpulan ini tidak dapat memanfaatkan peruntukan yang diberikan itu,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 menjelaskan Kerajaan memperkenalkan tujuh langkah bagi memastikan PKS terus berkembang maju dan berdaya saing khususnya bagi industri utama.

Antara langkah itu adalah dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan SJPP termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

Bagi syarikat yang berpendapatan bercukai sehingga RM500,000 dan PKS dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta, kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan daripada 18 peratus kepada 17peratus.

Memperuntukkan RM100 juta bagi menambahbaik keupayaan industri PKS dalam industri halal untuk meningkatkan eksport.

Permodalan Usahawan Nasional Berhad juga akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan.

Web source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/belanjawan-2019-tidak-pinggir-pks-1.900051