CGC jalin MoU sokong subkontraktor projek Pan Borneo

Utusan Online

14 Ogos 2017

CGC JALIN MOU SOKONG SUBKONTRAKTOR PROJEK PAN BORNEO

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan lima syarikat untuk memberi jaminan kewangan bagi subkontraktor domestik yang layak menerusi skim Bizjamin/-i bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak berkata, MoU itu adalah sejajar dengan mo¬del perniagaan CGC yang mahu membentuk kerjasama strategik bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkeupayaan untuk mendapat pembiayaan daripada institusi ke¬wangan mahupun secara terus melalui CGC.

“Untuk itu, kami mengalu-alukan kerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU), RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic Bank), SME Bank Berhad (SME Bank) dan Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP) bagi projek pembangunan infrastruktur berskala besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas majlis memeterai perjanjian itu antara CGC dengan RHB Islamic Bank, SME Bank, SJPP dan Teraju di Kucing, Sarawak hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang Sarawak, Datuk Mohd. Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Saleh.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Teraju dan turut disertai oleh LBU, yang merupakan Rakan Kerjasama Penyampaian Projek (PDP) bagi pembangunan dan naik taraf projek lebuh raya berkenaan.

Fasa pertama pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak membabitkan jumlah keseluruhan RM16.5 bilion dengan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh lima tahun iaitu pada 2021 manakala fasa kedua akan memberi fokus untuk memastikan perjalanan dari Sematan ke Sabah berjalan lancar tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Secara dasarnya, CGC menyediakan jaminan kepada PKS yang mempunyai potensi dalam perniagaan tetapi tidak mempunyai cagaran dan rekod prestasi untuk mendapatkan pembiayaan.

Selain itu, ia juga menyediakan pembiayaan secara terus untuk segmen yang kurang diberi perkhidmatan.

Setakat ini, CGC menguruskan 19 jaminan atau fasiliti kewangan termasuk skim yang disokong kerajaan bagi membantu PKS di seluruh negara dan menyokong agenda pembangunan PKS.

CGC telah berjaya memberi lebih 444,700 jaminan dan kewangan kepada PKS dengan nilai sebanyak RM63.7 bilion sejak ditubuhkan pada 5 Julai 1972.

Antara dana yang diuruskan CGC termasuklah Skim Kewangan Teknologi Hijau (GTFS) dan Dana Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 bilion dan RM300 juta. Setakat ini, CGC menguruskan 45 skim jaminan dan kewangan termasuk 16 skim yang disokong kerajaan.

Web source: https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/cgc-jalin-mou-sokong-subkontraktor-projek-pan-borneo-1.514539