Full text of Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak's speech for the SJPP signing ceremony

SJPP

14 April 2009

FULL TEXT OF PRIME MINISTER DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK'S SPEECH FOR THE SJPP SIGNING CEREMONY

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI
DI MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN
BAGI
SKIM JAMINAN MODAL KERJA DAN
SKIM JAMINAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI
BERTEMPAT DI DEWAN PERDANA
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)
JAM 3.00 PETANG, 14HB APRIL 2009 (SELASA)

Bismillaahirrahmaanirrahim
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Dr. Zeti Akhtar Aziz
Gabenor Bank Negara Malaysia

Yang Berusaha En Fazlur Rahman Ebrahim
Pengarah dan Pegawai Utama Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad

Yang berusaha ketua-ketua eksekutif serta wakil-wakil dari bank-bank dan institusi-institusi kewangan di Malaysia, dan ketua-ketua jabatan Kementerian Kewangan,

Para jemputan yang dimuliakan, tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin yang dihormati sekalian,

1. Pertamanya, ingin saya menyatakan rasa syukur Alhamdullillah, kerana kita dapat berkumpul di dalam Dewan Perdana ini, di dalam suasana ekonomi negara yang masih stabil meskipun badai dan gelora sedang melanda sistem ekonomi dunia. Kini, kita berdepan dengan krisis ekonomi global yang impaknya adalah lebih meluas dan mendalam, yang terbit dari krisis kewangan sub prima di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 2007. Kali ini bahang kemelut ekonomi global dirasakan bukan hanya di satu-satu kawasan atau negara, tetapi di seluruh dunia. Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara besar di Eropah, Jepun dan negara-negara yang selama ini menjadi tunjang ekonomi dunia turut terjerumus ke dalam krisis yang semakin meruncing. Ianya telah memaksa mereka bertungkus lumus berusaha bagi mengelakkan daripada berlakunya kemelesetan ekonomi. Para pemimpin negara anggota G20, yang terdiri daripada negara-negara ekonomi terbesar dunia, baru-baru ini telah bersetuju untuk bekerjasama dan akan membelanjakan lebih Satu Trillion Dolar Amerika bagi memastikan krisis ekonomi global tidak menjadi lebih parah.

2. Bagi menjamin kestabilan ekonomi negara, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai usaha dan inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang telah saya, selaku Menteri Kewangan, umumkan di Parlimen pada 4 November 2008 dan 10 Mac 2009 yang lalu. Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, beberapa langkah drastik telah diambil bagi memastikan ekonomi negara akan stabil dan terus berkembang, supaya rakyat Malaysia akan dilindungi daripada krisis ekonomi global yang berpanjangan.

3. Langkah-langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua adalah bersifat menyeluruh, dan dibahagikan kepada Empat Teras Utama, di mana Teras Pertama ialah Mengurangkan Pengangguran dan Menambah Peluang Pekerjaan, Teras Kedua ialah Meringankan Beban Rakyat, Terutamanya Golongan Mudah Terjejas, Teras Ketiga ialah Membantu Sektor Swasta Menghadapi Krisis dan Teras Keempat ialah Membina Keupayaan Masa Hadapan. Maka, pada hari ini kita akan menyaksikan bermulanya salah satu daripada langkah-langkah di bawah Teras Ketiga, dengan termeterainya perjanjian bagi pelaksanaan Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Kita perlu mengambil pelbagai langkah bagi memastikan institusi-institusi kewangan akan terus menjalankan fungsinya membiayai syarikat-syarikat yang layak dan berdaya maju, agar kegiatan ekonomi negara tidak terjejas. Akibat dari krisis ekonomi global yang melanda, institusi-institusi kewangan di dalam dan luar negara menjadi begitu berhati-hati dalam memberikan pembiayaan, kerana mereka tidak mahu menanggung risiko membiayai syarikat yang berkemungkinan tidak mampu membayar balik. Dengan sebab itu, syarat-syarat pembiayaan menjadi semakin ketat dan aliran kredit yang sangat diperlukan oleh syarikat-syarikat telah menjadi semakin kecil. Ini memburukkan lagi keadaan dan boleh mengakibatkan lebih banyak syarikat dan perniagaan gulung tikar.

5. Oleh itu, menerusi Teras Ketiga di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri, kedua-duanya berjumlah Sepuluh Bilion Ringgit dan ditadbirkan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPPB), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. Dengan adanya jaminan daripada Kerajaan ke atas pembiayaan yang dibuat oleh institusi-institusi kewangan kepada syarikat-syarikat yang berkenaan, risiko pinjaman tak berbayar yang dahulunya ditanggung oleh institusi-institusi kewangan akan ditanggung sebahagian besarnya oleh Kerajaan. Ini dapat menyelesaikan masalah syarikat-syarikat untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan, memperbaiki aliran kredit dan sekali gus mengembalikan keyakinan pasaran.

6. Maka, dengan termeterainya perjanjian berkenaan Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri pada hari ini, tiada sebab mengapa institusi-institusi kewangan perlu bimbang lagi kerana sebahagian besar risikonya akan dikongsi dengan pihak Kerajaan.

7. Dalam hal ini, Kerajaan ternyata memainkan peranannya dalam memastikan institusi-institusi kewangan akan merasa lebih berkeyakinan untuk memberikan pembiayaan yang diperlukan oleh sektor perniagaan di waktu yang mencabar ini. Saya berharap mulai dari tarikh jaminan-jaminan di bawah skim-skim tersebut dikeluarkan, iaitu 16 April 2009, syarikat-syarikat yang berdaya maju, termasuklah syarikat-syarikat yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akan memperolehi pembiayaan yang diperlukan daripada institusi-institusi kewangan masing-masing.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

8. Wujudnya jaminan Kerajaan itu tidak bermakna bahawa institusi-institusi kewangan boleh bersikap 'lepas tangan' dan memberikan pembiayaan secara sesuka hati kepada sesiapa sahaja. Institusi-institusi kewangan masih perlu mengikut prosedur-prosedur yang sewajarnya serta bersikap cermat dan waspada bagi memastikan syarikat-syarikat yang menerima pembiayaan benar-benar memerlukannya, diuruskan dengan baik dan berdaya maju.

9. Melalui skim-skim tersebut, institusi-institusi kewangan sebenarnya berkongsi risiko dengan pihak Kerajaan. Ini kerana jaminan-jaminan yang diberikan hanyalah sehingga 80% pembiayaan bagi Skim Jaminan Modal Kerja dan sehingga 50% atau 80% pembiayaan bagi Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Risiko selebihnya akan ditanggung oleh pihak institusi kewangan yang berkenaan. Ini akan memastikan institusi kewangan yang terlibat berhati-hati sebelum meluluskan mana-mana pembiayaan.

10. Oleh itu, institusi-institusi kewangan adalah dilarang dari mendapatkan jaminan bagi kemudahan pembiayaan semula (refinancing) di bawah skim-skim tersebut, kerana itu merupakan satu bentuk pemindahan risiko dari pihak institusi kewangan kepada pihak Kerajaan, yang akan hanya merugikan Kerajaan dan tidak menepati hasrat kerajaan menubuhkan skim-skim ini.

11. Institusi-institusi kewangan perlu peka kepada niat Kerajaan dalam mewujudkan skim-skim tersebut. Syarikat-syarikat yang tidak berdaya maju dan sememangnya tidak memenuhi kriteria peminjam institusi-institusi kewangan tersebut tidak seharusnya mendapat kemudahan pembiayaan dengan jaminan. Dalam masa yang sama, syarikat-syarikat yang sememangnya boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan yang biasa tanpa perlu jaminan juga tidak layak untuk diberikan jaminan di bawah skim-skim tersebut.

12. Institusi-institusi kewangan mestilah memantau kemudahan pembiayaan yang dijamin, bermula dari pewujudan pembiayaan, pembayaran pembiayaan sehinggalah ke tahap yang seterusnya. Pemantauan perlu dibuat bagi memastikan kemudahan pembiayaan yang dijamin tidak disalahgunakan, dan tidak diberi kepada entiti-entiti yang tidak layak untuk memperolehinya, agar usaha-usaha kerajaan dalam merangsang ekonomi negara akan dapat dijayakan.

13. Dalam memastikan kejayaan skim-skim tersebut, "moral suasion" atau pujukan moral akan digunakan oleh Bank Negara Malaysia yang sememangnya sentiasa mengawasi tingkah laku institusi-institusi kewangan di Malaysia. Kerajaan, menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad dan juga Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan, akan juga sentiasa mengawasi tindak-tanduk institusi-institusi kewangan yang terlibat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan skim-skim tersebut. Ini adalah kerana jaminan-jaminan tersebut merupakan satu bentuk "contingent liability" kepada Kerajaan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

14. Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri diwujudkan dengan tujuan menghasilkan peluang bagi sektor-sektor tertentu untuk mendapatkan pembiayaan bagi menjamin kesinambungan perniagaan mereka. Skim-skim tersebut seharusnya dilihat sebagai pelengkap, dan bukannya pesaing, kepada lain-lain kemudahan atau skim yang disediakan oleh Kerajaan, umpamanya kemudahan pembiayaan pasaran bon yang akan disediakan oleh Institut Jaminan Kewangan, dan Skim Jaminan Usahawan Kecil untuk perusahaan kecil dan sederhana yang disediakan oleh Credit Guarantee Corporation di bawah Bank Negara Malaysia.

15. Secara amnya, institusi-institusi kewangan sepatutnya memberikan kemudahan pembiayaan kepada semua sektor dan bukan hanya kepada sektor-sektor yang dijamin oleh Kerajaan atau yang mempunyai cagaran seratus peratus. Institusi kewangan mestilah bersedia untuk mengambil "calculated risk" dan tidak bersikap terlalu konservatif dengan hanya membiayai apabila wujud cagaran atau jaminan. Pembiayaan sepatutnya boleh juga diberikan berdasarkan penyata aliran tunai syarikat ataupun apabila wujudnya bentuk perniagaan yang mempunyai business-model yang berdaya maju tetapi berisiko tinggi dan berteraskan knowledge-base seperti di bidang green technology, bioteknology, ICT, creative media, animationadvanced materials, kejuruteraan terkini dan lain-lain.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

16. Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, iaitu syarikat yang dilantik untuk mentadbir Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri, serta kepada Prokhas Sdn Bhd selaku pengurus kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, kerana telah memastikan yang kedua-dua skim tersebut dapat dimulakan dalam masa yang begitu singkat dari tarikh ianya pertama kali diumumkan pada 10 Mac 2009 yang lalu. Kerajaan menyedari bahawa krisis ekonomi global yang melanda kita ini memerlukan tindakan segera diambil bagi mengelakkannya daripada menjadi lebih buruk.

17. Saya percaya pengajaran yang kita perolehi ketika menguruskan ekonomi negara sewaktu krisis ekonomi Asia melanda dahulu pastinya akan dapat membantu kita untuk mengharungi cabaran krisis ekonomi global kini. Dengan langkah-langkah lain di bawah Teras Ketiga dan lain-lain teras di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang kini sedang giat dilaksanakan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab, InsyaAllah keadaan ekonomi Malaysia akan terus stabil dan berkembang maju.

Sekian.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pejabat Perdana Menteri
Putrajaya
14 April 2009