Full text of Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP)'s Director, En. Fazlur Rahman Ebrahim

SJPP

17 Mac 2009

FULL TEXT OF SYARIKAT JAMINAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN BERHAD (SJPP)'s DIRECTOR, EN. FAZLUR RAHMAN EBRAHIM

UCAPAN OLEH EN. FAZLUR RAHMAN EBRAHIM, PENGARAH/ PEGAWAI UTAMA, SYARIKAT JAMINAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN BERHAD DI MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN BAGI SKIM JAMINAN MODAL KERJA DAN SKIM JAMINAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI, 14 APRIL 2009, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua

Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin
Timbalan Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
Gabenor Bank Negara Malaysia

Wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan institusi-institusi kewangan,

Para jemputan khas, para wakil media, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu pihak kami ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana  Menteri atas kesudian beliau melapangkan masa untuk hadir ke Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Pembiayaan Penstrukturan Semula Industri pada petang ini. Dalam masa yang sama, kami rasa masih belum terlambat untuk kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Yang Amat Berhormat Dato' Sri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam baru-baru ini.

Sesungguhnya kehadiran Yang Amat Berhormat Dato' Sri amat besar ertinya buat kami kerana ia membuktikan iltizam dan komitmen Yang Amat Berhormat Dato' Sri dan Kerajaan Malaysia ke atas usaha-usaha membantu dan menyokong syarikat-syarikat tempatan dalam melawan arus deras kemelut ekonomi dunia pada waktu ini. Kami percaya usaha dan inisiatif Kerajaan ini akan menyumbang ke arah kebaikan masa depan ekonomi negara.

Hadirin sekalian,

Majlis pada petang ini begitu berharga kepada pihak kami kerana perjanjian strategik yang akan ditandatangani sebentar lagi akan mempamerkan kerjasama yang erat antara Kerajaan dan 44 institusi-institusi kewangan, yang bertujuan menyokong inisiatif yang akan membantu syarikat-syarikat untuk mendapatkan pinjaman bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Kami  amat berbangga kerana telah diberikan kepercayaan dan mandat untuk mentadbir dan mengurus kedua-dua skim jaminan tersebut yang berjumlah SEPULUH BILLION RINGGIT. Dan, dengan publisiti yang diberikan berkenaan berlangsungnya acara menandatangani perjanjian  pada petang ini, diharapkan pengetahuan orang ramai mengenai kedua-dua skim ini akan dapat ditingkatkan.

Hadirin sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri yang diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pada 10 Mac baru-baru ini adalah bertujuan bagi membolehkan syarikat-syarikat yang layak untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan, supaya dapatlah mereka meneruskan perniagaan ataupun supaya mereka dapat melabur dalam aktiviti berteknologi tinggi, termasuklah teknologi hijau, dan aktiviti tambah nilai tinggi.

Buat makluman para hadirin, hanya syarikat-syarikat yang majoritinya dimiliki oleh rakyat Malaysia sahaja layak untuk memohon pembiayaan di bawah kedua-dua skim ini.  Permohonan bagi kedua-dua skim ini dibuka mulai 16 Mac 2009 hingga 31 Disember 2010 atau sehingga setiap skim jaminan mencapai had siling masing-masing. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan 44 institusi kewangan yang mengambil bahagian, atau dengan SJPP. Selain dari itu, mereka juga boleh melayari laman web SJPP.

Saya percaya kedua-dua skim ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Walaupun kedua-duanya akan hanya beroperasi mulai 16 April 2009, saya difahamkan permohonan bagi mendapatkan pembiayaan di bawah kedua-dua skim ini berjumlah lebih daripada ENAM RATUS JUTA RINGGIT telahpun diterima oleh institusi-institusi kewangan setakat ini. Berdasarkan jumlah ini, saya yakin, dengan kerjasama semua pihak, skim-skim jaminan pembiayaan berjumlah SEPULUH BILLION RINGGIT yang diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam masa yang terdekat.

Hadirin sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada syarikat-syarikat yang layak, terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana untuk memohon skim yang ditawarkan dan menggunakan peluang ini untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada. Sesungguhnya perusahaan kecil dan sederhana memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara selain turut mewujudkan peluang pekerjaan.

Saya yakin, dengan adanya skim ini, institusi-institusi kewangan akan lebih bersedia untuk memberikan pembiayaan kepada syarikat-syarikat terbabit.

Hadirin sekalian,

Sebagai mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri dan kepada semua para hadirin yang telah bersama-sama menjayakan majlis yang bersejarah ini.  Juga ucapan terima kasih dan penghargaan kami kepada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Persatuan Institusi-institusi Perbankan, kesemua 44 institusi kewangan yang mengambil bahagian, dan Prokhas Sdn Bhd selaku syarikat yang menguruskan operasi SJPP, yang kesemuanya telah menyumbang bagi menjayakan usaha ini.

Moga-moga semua usaha kita ini akan beroleh kejayaan, Insya-Allah.

Sekian, saya sudahi dengan  Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Terima kasih.