Jana RM13 bilion

Harian Metro

27 Julai 2012

JANA RM13 BILION

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion dijana untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif dilancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Beliau berkata, inisiatif dilancarkan Teraju yang ditubuhkan Februari lalu berpandukan hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan sebelum ini. Antara inisiatif yang menyumbang kepada jumlah itu ialah melalui dasar untuk memberi peluang secara 'carve out' kepada syarikat Bumiputera terbabit dalam projek MyRapid Transit (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.

"Sehingga ini, 47 peratus daripada jumlah pakej ditawarkan kepada syarikat Bumiputera melebihi sasaran 43 peratus ditetapkan," katanya pada sidang media di sini selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di sini. Katanya, mengikut unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej itu bernilai kira-kira RM9.3 bilion yang menyaksikan jumlahnya melangkaui sasaran RM8.5 bilion.

Menurutnya, kerajaan berpuas hati dengan jumlah itu, bukan saja dari segi jumlah besar yang berjaya diagih, tetapi juga dari segi proses penentuan syarikat berkenaan yang dibuat dengan cara yang begitu telus, berdasarkan syarikat yang terbaik dari kalangan syarikat Bumiputera. "Proses itu dilakukan berdasarkan merit dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana syarikat melainkan berdasarkan kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat tersebut," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat MTAB juga meluluskan 20 lagi syarikat yang layak untuk program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) iaitu satu lagi program perdana Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah. "Melalui inisiatif itu, kami dapati jumlah modal berbayar ialah kira-kira RM1 bilion dan perolehan keseluruhan RM7.9 bilion. Ini bererti syarikat Teras ini mempunyai potensi berkembang dan mampu bersaing untuk mendapatkan kerja dari sektor awam," katanya.

Perdana Menteri seterusnya mengumumkan keputusan mesyuarat melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah kelolaan Prokhas untuk setahun lagi dengan dana RM930 juta yang belum digunakan lagi oleh syarikat Bumiputera akan diperuntukkan sehingga 31 Disember, 2013.Walaupun skim jaminan itu pada mulanya hanya diperuntukkan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS), katanya, kini syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar daripada itu juga, layak menyertai skim berkenaan.

"Saya dan anggota majlis yakin inisiatif ini bakal memberi peluang lebih meluas kepada syarikat Bumiputera untuk capai kejayaan lebih besar pada masa akan datang," katanya. – Bernama