Kerajaan Mahu Pertingkat Promosi Skim Jaminan Harta Intelek

Bernama Online

23 Januari 2018

KERAJAAN MAHU PERTINGKAT PROMOSI SKIM JAMINAN HARTA INTELEK

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan berhasrat untuk terlibat dengan kalangan syarikat pemula niaga, universiti dan pertubuhan penyelidikan dalam usaha mempromosikan Skim Jaminan Harta Intelek (SJHI).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata SJHI bertujuan menangani kesukaran kewangan yang dihadapi pihak-pihak berkenaan dalam usaha membangunkan harta intelek masing-masing.

"Menerusi skim jaminan itu, lebih banyak wang tunai dapat disediakan bagi pinjaman mereka. Atas alasan inilah, kita (kerajaan) memberi jaminan 80 peratus bagi tujuan itu dan berharap pihak bank juga terbuka kepada skim pembiayaan tersebut.

"Kita perlu meningkatkan lagi aspek promosi ini dan terlibat dengan pihak bank bagi menggalakkan usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis pelancaran Skim Jaminan Kerajaan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), di sini, hari ini.

Web source: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1429908