Kerajaan tidak bercadang kenakan cukai warisan dalam Bajet 2020

Utusan Online

25 June 2019

Kerajaan tidak bercadang kenakan cukai warisan dalam Bajet 2020


LIM GUAN ENG

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang mengenakan cukai baharu dalam Bajet 2020 khususnya berhubung cukai warisan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, terdapat banyak khabar angin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan cukai warisan.

“Ia tidak mungkin. Jika ada, ia hanya susulan kepada apa yang kami telah umumkan dalam Bajet 2019,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Perniagaan PKS Malaysia, hari ini.

Spekulasi mengenai cukai warisan akan diperkenalkan telah berlegar sejak sebelum pembentangan Bajet 2019, yang pasaran bimbang akan mengurangkan minat pelabur, terutamanya di Bursa Malaysia.

Kerajaan, bagaimanapun, ada mencadangkan cara untuk meningkatkan hasil cukai termasuk menerusi program pengisytiharan sukarela khas yang membolehkan pembayar cukai secara sukarela mengisytiharkan sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan, termasuk pendapatan yang disimpan dalam akaun luar pesisir.

Ditanya mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada separuh pertama 2019, Lim berkata, kerajaan mengakui terdapat banyak cabaran dihadapi mereka, termasuk isu berhubung akses kepada pembiayaan serta mengenai penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman.

“Sesetengah syarikat mahu menjadualkan semula pinjaman mereka untuk tempoh lebih lama supaya mereka boleh meningkatkan aliran tunai mereka dan mereka masih membayar tepat pada masanya, tetapi masalahnya sesetengah bank akan mengklasifikasikannya sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Ini tidak sepatutnya berlaku dan Bank Negara akan memaklumkan kepada bank-bank bahawa mereka tidak boleh mengklasifikasikan PKS berkenaan sebagai NPL,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, menteri kewangan itu berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menggesa PKS untuk melakukan transformasi digital.

Pada Februari tahun ini, kerajaan melancarkan skim jaminan baharu bernilai RM2 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) Bhd untuk membantu PKS Malaysia untuk menceburi Industri 4.0. - BERNAMA

Web source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kerajaan-tidak-bercadang-kenakan-cukai-warisan-dalam-bajet-2020-1.924042