Maybank salur RM10 bilion untuk PKS tahun ini

BH Online

28 August 2019

Maybank salur RM10 bilion untuk PKS tahun ini


Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan. NSTP/Rohanis Shukri.

SHAH ALAM: Maybank komited untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM10 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini, daripada RM30 bilion yang diperuntukkan bagi tempoh tiga tahun bermula 2019 hingga 2021.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata segmen PKS adalah tumpuan utama kumpulan apabila pembiayaan PKS meningkat dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Melihat kepada rekod pinjaman kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 23 peratus bagi tempoh lima tahun antara 2013 hingga 2018, kami yakin mampu melepasi sasaran untuk menyediakan RM35 bilion pembiayaan kewangan kepada PKS tempatan.

“Tahun ini, kami sasarkan untuk meluluskan RM10 bilion dan jumlah itu akan meningkat tahun ke tahun sehingga 2021,” katanya kepada media sempena pelancaran Kempen Bulan PKS Maybank di sini, hari ini.

Kempen bertujuan memberi pendedahan kepada PKS mengenai akses pembiayaan yang lebih besar.

Hamirullah berkata, bagi segmen PKS runcit, kumpulan menyasarkan pertumbuhan sebanyak 15 peratus pada tahun ini.

“Setakat Jun, kami sudah melepasi 12 peratus pertumbuhan dan dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan, kami yakin sasaran itu mampu dicapai,” katanya.

Mengulas mengenai kempen berkenaan, beliau berkata, bengkel yang diadakan secara percuma itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan meningkatkan pengetahuan dan mengembangkan potensi perniagaan.

“Sepanjang bengkel ini, kita berharap usahawan bukan saja mendapat lebih pemahaman mengenai proses pembiayaan tetapi juga dapat mencipta jaringan baru antara kelompok mereka dalam kalangan pelbagai industri dan mewujudkan peluang baharu dalam perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini juga hasil kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk menyediakan pembiayaan tanpa cagaran kepada pelanggan.

“Walaupun kempen ini hanya diadakan selama sebulan, usaha berterusan akan terus dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan PKS mempunyai kelayakan dalam pelbagai produk dan perkhidmatan,” katanya.

Selain Shah Alam, kempen ini akan menjelajah ke seluruh negara selama sebulan dengan Kota Kinabalu sebagai destinasi berikutnya diikuti Kuching, Sarawak; Alor Setar, Kedah; Kuala Terengganu, Terengganu; Melaka, Sungai Petani, Kedah dan Kuala Lumpur.

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/08/600966/maybank-salur-rm10-bilion-untuk-pks-tahun-ini