MITI Akan Perkasa PKS Dan Tingkat Eksport Tahun Depan

Bernama Online

21 Oktober 2016

MITI AKAN PERKASA PKS DAN TINGKAT EKSPORT TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memberi tumpuan untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta melonjakkan eksport negara pada tahun depan berikutan peruntukan Bajet 2017 yang diumumkan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan dalam bajet tersebut bertepatan dengan bilangan PKS Malaysia yang besar dan merupakan tonggak utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"MITI akan memberi tumpuan untuk memajukan PKS pada tahun depan selari dengan pengisytiharan 2017 sebagai Tahun Penggalakan Syarikat Baru Bermula dan PKS.

"Ini menunjukkan kerajaan memahami perlunya kita mempertingkatkan ekonomi akar umbi," katanya kepada pemberita selepas pengumuman Bajet 2017 oleh Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

Di dalam bajet tersebut, kerajaan memperuntukkan RM75 juta bagi menggalakkan pembangunan PKS di bawah program Pelan Induk PKS.

Selain itu, sebanyak 2.0 peratus rebat kadar faedah diberikan kepada peminjam PKS di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi melonjakkan PKS berorientasi eksport.

Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan kepada tabung eksport di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi mendorong syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa.

Sebanyak 97 peratus perusahaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Mustapa menambah, MITI akan terus memberi penekanan dalam mempertingkatkan perdagangan serta pelaburan di dalam dan luar negara pada tahun hadapan walaupun berdepan dengan landskap ekonomi dunia yang tidak menentu.

Katanya, perhatian terdapat pasaran luar negara yang penting akan ditingkatkan lagi bagi menarik lebih banyak pelabur asing.

"Ini penting bagi memastikan negara kita terus berkembang kerana pelaburan adalah satu daripada pendorong utama kepada kemajuan negara.

"Pelaburan bukan setakat menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam merancakkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, MITI akan meneliti bajet yang diperuntukkan buat kementerian itu dan berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan sewajarnya sekiranya jumlah tersebut tidak mencukupi agar agensinya dapat meningkatkan lagi usaha menggalak pelaburan.

- BERNAMA

Web source: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1294472