Parliamentary Reply

SJPP

15 Jun 2009

PARLIAMENTARY REPLY

Date

15 Jun 2009

Title / Issue / Topic

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI

Questioned by

YANG BERHORMAT JERANTUT, YANG BERHORMAT PARIT SULONG, BANDAR TUN RAZAK, SHAH ALAM, LENGGONG, KEPONG, KULAI, RANTAU PANJANG, KUALA LANGAT, LIBARAN, ALOR GAJAH, GELANG PATAH, REMBAU DAN KINABATANGAN.

THE QUESTION

Soalan mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi yang diajukan oleh ahli-ahli Yang Berhormat Jerantut bersama-sama dengan ahli-ahli Yang Berhormat Parit Sulong, Bandar Tun Razak, Shah Alam, Lenggong, Kepong, Kulai, Rantau Panjang, Kuala Langat, Libaran, Alor Gajah, Gelang Patah, Rembau dan Kinabatangan.

THE ANSWER:

Tuan Yang di-Pertua,

Izinkan saya menjawab soalan ahli Yang Berhormat Jerantut bersama-sama dengan soalan ahli-ahli Yang Berhormat Parit Sulong, Bandar Tun Razak, Shah Alam, Lenggong, Kepong, Kulai, Rantau Panjang, Kuala Langat, Libaran, Alor Gajah, Gelang Patah, Rembau dan Kinabatangan yang dijadualkan dijawab pada 15 Jun 2009 serta pada 16, 17, dan 18 Jun 2009 kerana menyentuh mengenai perkara dan isu yang sama, iaitu berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi.

2. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan krisis ekonomi global, yang telah merosot lebih daripada yang dijangkakan. Pada suku pertama 2009, Malaysia telah mengalami kemerosotan pertumbuhan ekonomi dengan mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar pada kadar negatif 6.2%. Ini merupakan pertumbuhan ekonomi negatif suku tahunan pertama yang dialami sejak suku ketiga tahun 2001. Pertumbuhan negatif ini disebabkan terutamanya oleh kesan kelembapan ketara ekonomi dunia dan perdagangan antarabangsa yang telah menjejaskan permintaan eksport negara sejak separuh kedua 2008.

3. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah pun menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2009 daripada positif 0.5% kepada negatif 1.3% dan perdagangan dunia 2009 daripada positif 2.1% kepada negatif 11%. Negara-negara maju dan membangun juga dijangka mencatat penguncupan ekonomi atau kadar pertumbuhan yang lebih perlahan.

4. Berdasarkan situasi ekonomi semasa, Kerajaan menjangkakan persekitaran ekonomi global bagi tahun 2009 adalah lebih sukar dan mencabar. Perkembangan ini jelas dilihat melalui penunjuk-penunjuk ekonomi domestik yang mengambarkan tren yang menurun, seperti nilai eksport, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) dan perbelanjaan pelaburan. Berikutan dengan ini, Kerajaan telah membuat semakan semula unjuran kadar pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2009 daripada antara negatif 1% hingga positif 1% kepada negatif 4% hingga negatif 5%.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Menyedari situasi ekonomi yang semakin mencabar, Kerajaan terus komited untuk mengurangkan kesan kelembapan ini supaya ekonomi negara kembali cergas dan beransur pulih. Untuk tujuan ini, sebanyak RM7 bilion telah diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama pada 4 November 2008. Manakala, Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua telah diumumkan pada 10 Mac 2009, dengan peruntukan RM60 bilion. Pakej kedua ini adalah lebih komprehensif serta meliputi semua sektor ekonomi dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, iaitu 2009 dan 2010. Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua serta perbelanjaan bajet tahunan dilaksanakan segera dan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

6. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah menubuhkan Unit Pengurusan Projek (PMU) bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Satu dan Dua. Tindakan yang diambil oleh PMU bagi memastikan perbelanjaan dan prestasi kelancaran projek adalah seperti berikut:-

i. Mendapatkan Laporan Kemajuan Pelaksanaan Projek tiap-tiap minggu daripada semua agensi pelaksana pada setiap hari Rabu;
ii. Mengadakan mesyuarat berkala dengan semua agensi pelaksana bagi mendapatkan maklumat dan menyelesaikan masalah berbangkit;
iii. Memantau terus dengan kementerian-kementerian yang mempunyai masalah dalam pelaksanaan projek;
iv. Mesyuarat setiap minggu oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi menyelesaikan masalah yang timbul dan memastikan perlaksanaan program dan projek mengikut jadual; dan
v. Laporan kemajuan pelaksanaan projek dikemukakan terus kepada Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Kewangan tiap-tiap dua minggu sekali. Sebarang masalah di dalam pelaksanaan projek-projek akan diselesaikan di Exco Majlis Ekonomi ini yang berfungsi sebagai dengan izin 'one- stop clearing house'.

Tuan Yang Dipertua

7. Daripada jumlah RM7 billion yang diperuntukkan untuk Pakej Rangsangan Satu, 99% atau RM6.95 billion telah diagihkan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.02 bilion atau 57.9% yang melibatkan 43,681 projek telah ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya manakala bakinya sedang dalam proses untuk ditawarkan. Sehingga 5 Jun 2009, sebanyak RM1.4 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 10,979 projek. Ini turut melibatkan projek-projek kecil seperti menaik taraf dan membaikpulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital yang berjumlah RM500 juta telah dilaksanakan. Di samping itu, program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM592 juta siap dilaksanakan. Projek rumah mesra rakyat yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta bagi membina 2,664 unit rumah telah dilaksanakan dengan segera. Perlaksanaan projek ini telah memberi kesan positif kepada aktiviti sektor pembinaan pada suku pertama tahun 2009, di mana sektor ini telah mencatat pertumbuhan 0.6%. Perlaksanaan projek tersebut telah memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor-kontraktor kecil, terutamanya di kawasan luar bandar.

8. Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula, sejumlah 7,811 projek bernilai RM4.2 billion telah diberikan sehingga 5 Jun 2009. Daripada jumlah projek tersebut, sebanyak RM1.2 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 453 projek. Ini turut melibatkan program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM173 juta yang melibatkan 2,686 projek, yang memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak. Ini secara langsung telah dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi serta kualiti hidup rakyat luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

9. Pakej rangsangan ini merupakan pakej yang komprehensif, yang turut mengambil kira usaha mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi kemelesetan ekonomi. Kerajaan telah menambah peruntukan sebanyak RM674 juta sebagai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung. Ini telah membantu mengurangkan kadar inflasi kepada 3.0% pada bulan April 2009, berbanding dengan 8.5% pada bulan Julai dan Ogos 2008.

10. Untuk menambahkan lagi pendapatan rakyat, Kerajaan telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan Syariah berjumlah RM5 bilion. Bon ini telah mendapat sambutan yang amat baik dan habis dilanggan. Kerajaan terpaksa mengeluarkan RM250 juta setahun untuk diagihkan sebagai dividen kepada pemeganga Bon tersebut.

11. Bagi meringankan beban pekerja yang diberhentikan serta penggangur termasuk siswazah, Kerajaan telah membelanjakan RM460 juta untuk menyediakan peluang latihan kemahiran dan teknikal kepada mereka. Perbelanjaan ini juga termasuk pemberian elaun harian berjumlah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan. Sehingga Jun 2009, seramai 3,200 orang pelatih sedang mengikuti program latihan kemahiran dan teknikal di pusat-pusat latihan kemahiran negeri dan dijangka seramai 12,000 pelatih akan mengikuti program ini sehingga pertengahan tahun 2010. Di samping itu, program untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan PhD turut mendapat sambutan yang amat menggalakan dengan kesemua peruntukan berjumlah RM200 juta telah dihabiskan diagihkan. Selain itu, sebanyak 4,869 kekosongan jawatan di pelbagai agensi dalam sektor awam juga telah diisi. Proses pengambilan sedang berjalan dan dijangka 63,000 jawatan akan dapat diisi menjelang 2010. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, tren bilangan pemberhentian pekerja telah mula reda dengan bilangannya telah berkurangan daripada 7,665 pada bulan Disember 2008 kepada 3,085 pada bulan Mei 2009.

Tuan Yang Di Pertua,

12. Pakej Rangsangan Kedua juga telah juga memberi penekanan bagi membantu sektor swasta dalam menghadapi kesan krisis ekonomi global. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin pada 15 Mei 2009 dengan modal berbayar RM1 bilion yang dijangka dapat menyediakan penambahan kredit kepada syarikat swasta untuk memperoleh pembiayaan dalam pasaran modal. Di samping itu, bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana untuk mendapatkan pembiayaan modal kerja dari institusi kewangan, Kerajaan telah menyediakan Skim Dana Jaminan Modal Kerja yang bernilai RM5 bilion. Sehingga 9 Jun 2009, sejumlah 1,381 permohonan dengan nilai jaminan RM1.3 bilion telah diluluskan. Manakala, bagi Skim Dana Jaminan Penstrukturan Semula Industri yang juga bernilai RM5 bilion telah disediakan untuk meningkatkan produktiviti dan nilai ditambah yang lebih tinggi serta menggalakan aplikasi teknologi hijau. Sehingga 9 Jun 2009 sebanyak 29 permohonan dengan nilai jaminan RM80 juta telah diluluskan. Langkah-langkah ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan telah meningkatkan keupayaan syarikat swasta yang terlibat untuk terus beroperasi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

13. Krisis ekonomi global ini memberi peluang kerajaan melaksanakan, memperkukuh dan mengembangkan kapasiti negara bagi memastikan ekonomi lebih berdaya tahan dan mempunyai asas yang kukuh apabila keadaan kembali pulih. Tumpuan akan diberi kepada pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Untuk ini, Kerajaan telah mengumumkan langkah liberalisasi terutamanya dalam sektor perkhidmatan, di mana 27 sub-sektor perkhidmatan telah diliberalisasikan. Kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah baik prosedur Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) bagi meningkatkan pelaburan. Saya akan membuat pengumuman pada akhir Jun akan datang mengenai perkara ini sempena Invest Malaysia 2009.

14. Inisiatif yang diambil oleh Kerajaan ini untuk memulihkan ekonomi telah dapat memberi keyakinan para pelabur, terutama dalam pasaran ekuiti. Ini jelas dilihat apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatatkan peningkatan ketara sejak Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua diumumkan. KLCI telah melonjak sehingga 1,072.85 mata pada 8 Jun 2009 berbanding 855.25 mata pada 10 Mac 2009. Perlaksanaan pakej ransangan dijangka memberi kesan lebih ketara ke atas ekonomi negara dan dijangka mencatatkan pertumbuhan positif dalam suku ke empat tahun 2009.

15. Dalam usaha melaksanakan pakej rangsangan ekonomi ini, terdapat juga halangan-halangan yang perlu diatasi bagi memastikan perlaksanaannya mencapai hasrat yang diingini. Diantara masalah-masalah yang dihadapi ialah :-

i. Had kuasa agensi dalam meluluskan perolehan sebut harga yang tidak melebihi RM200 ribu;

ii. kekurangan guna tenaga sama ada dalam bidang teknikal dan sokongan untuk mengendalikan projek yang hendak dilaksanakan; dan

iii. Kekurangan modal permulaan untuk melaksanakan projek oleh kontraktor- kontraktor kecil terutamanya kelas F.

Walau bagaimanapun, kesemua halangan yang dihadapi telah dapat di atasi dengan segera untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Satu dan Dua ini.

Tuan Yang di-Pertua,

16. Kerajaan yakin bahawa melalui strategi dan langkah yang telah dirangka dalam kedua-dua pakej rangsangan yang komprehensif dan menyeluruh ini akan dapat mengurangkan impak kemelesetan ekonomi dunia terhadap ekonomi domestik serta dapat memastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan terus memantau perlaksanaan pakej rangsangan ini dengan rapi bagi memastikan ianya dilakukan dengan pantas dan berkesan serta value-for-money.

17. Akhir sekali, saya menyeru sektor swasta bersama-sama dengan Kerajaan memikul tanggugjawab untuk merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara. Insyaallah, saya yakin dengan terlaksananya pakej rangsangan serta sokongan padu sektor swasta dan semua lapisan rakyat akan dapat mengurangkan impak negatif kemelesetan ekonomi global ke atas ekonomi domestik