Peluang niaga Rm13b untuk bumiputera

Berita Harian

27 Julai 2012

PELUANG NIAGA RM13B UNTUK BUMIPUTERA

Putrajaya: Peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion dijana untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif dilancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif dilancarkan Teraju, yang ditubuhkan Februari lalu, berpandukan kepada hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan sebelum ini. Antara inisiatif yang menyumbang kepada jumlah itu ialah dasar untuk memberi peluang secara carve out kepada syarikat Bumiputera yang terbabit dalam projek Transit Aliran Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.

Sehingga kini, 47 peratus daripadanya ditawarkan kepada syarikat Bumiputera, melebihi sasaran 43 peratus, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di sini, semalam.

Melangkaui sasaran

Najib berkata, mengikut unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej itu bernilai kira-kira RM9.3 bilion, melangkaui sasaran RM8.5 bilion.

Katanya, kerajaan berpuas hati dengan jumlah itu, bukan saja dari segi jumlah besar yang berjaya diagih, tetapi juga dari segi proses penentuan syarikat yang dibuat dengan cara telus, berdasarkan kepada syarikat Bumiputera yang terbaik.

Proses ini dilakukan berdasarkan merit dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana syarikat melainkan berdasarkan kepada kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat itu, katanya.

Sementara itu, mesyuarat MTAB semalam juga meluluskan 20 lagi syarikat yang layak untuk program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), satu lagi program perdana Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah.

Menerusi inisiatif ini, kita dapati bahawa jumlah modal berbayar ialah kira-kira RM1 bilion dan perolehan keseluruhan RM7.9 bilion. Ini bererti syarikat Teras ini mempunyai potensi berkembang dan mampu bersaing untuk mendapatkan kerja sektor awam, katanya.

Lanjut tempoh SJPP

Perdana Menteri turut mengumumkan melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah kelolaan Prokhas untuk setahun lagi, di mana dana RM930 juta yang belum digunakan syarikat Bumiputera akan diperuntukkan sehingga 31 Disember 2013.

Walaupun skim jaminan itu pada mulanya hanya diperuntukkan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS), namun kini katanya, syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar daripada itu juga layak untuk menyertai skim berkenaan.

Saya dan anggota majlis yakin inisiatif diperkenal ini akan memberi peluang lebih meluas kepada syarikat Bumiputera untuk capai kejayaan lebih besar pada masa depan, katanya. BERNAMA