Harian Metro
20 April 2015
PKS DIGALAK MOHON SJSP, SJPBB
Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana digalakkan memohon kemudahan pembiayaan di bawah dua skim jaminan iaitu Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SJSP) dan Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir (SJPBB).
SJSP adalah untuk IKS dalam sektor perkhidmatan yang dijangka menyumbang lebih banyak kepada dagangan antarabangsa Malaysia, manakala SJPBB pula terbuka kepada semua IKS yang terjejas akibat banjir.
SJSP membolehkan IKS mempunyai akses kepada pembiayaan perbelanjaan modal kerja pada paras minimum RM100,000 dan sehingga RM5 juta bagi setiap syarikat.
Pegawai Utama dan Pengarah SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, jaminan itu akan membantu IKS dalam mendapatkan kemudahan dari institusi kewangan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, jaminan keseluruhan RM5 bilion diperuntukkan bagi tujuan berkenaan. – BERNAMA