RM210 juta untuk galakkan peralihan kepada Industri 4.0

Berita Harian Online

2 November 2018

RM210 juta untuk galakkan peralihan kepada Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan industri berteknologi tinggi menerusi tumpuan terhadap Industri 4.0 bersandarkan kepada Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 atau Industry4WRD.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan memperuntukkan RM210 juta bagi tahun 2019 hingga 2021 untuk menggalakkan peralihan kepada Industri 4.0.

Katanya, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menjalankan program Readiness Assessment untuk membantu 500 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) beralih kepada teknologi Industri 4.0.

“Sistem rujukan Knowledge Resource for Science & Technology Excellence (KRSTE.my) juga akan diwujudkan untuk memangkin perkongsian sumber penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerajaan antara sektor swasta dan akademik dengan sumber dan fasiliti sedia ada.

“Menjelang 2019, kerajaan akan memberi sektor swasta akses kepada 250 fasiliti dan 1,200 peralatan saintifik serta data penyelidikan.

“Selain itu, satu Program Pemetaan Penyelidik akan diperkenalkan untuk menempatkan sekurang-kurangnya 100 ahli penyelidik dengan sektor swasta di mana kos penempatan akan dibiayai oleh kerajaan,” kata Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, bagi menggalakkan PKS membuat pelaburan dalam automasi dan pemodenan yang merupakan komponen Industri 4.0, sebanyak RM2 bilion akan disediakan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di mana kerajaan akan memberikan jaminan pembiayaan sehingga 70 peratus.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, kerajaan melalui BPMB akan menyediakan Dana Transformasi Pendigitalan Industri berjumlah RM3 bilion dengan insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

“Dana ini bertujuan merancakkan industri untuk menerap teknologi pintar merangkumi robotik dan kecerdasan buatan,” katanya.

Malah, katanya, MIDA melalui Dana Impak Tinggi akan terus menyediakan geran padanan untuk menggalakkan inisiatif Industri 4.0.

“Ini akan merangkumi aktiviti seperti R&D, penerimaan sijil dan piawaian antarabangsa, serta pemodenan fasiliti dan peralatan dengan teknologi yang terkini,” katanya.

Usaha memperkukuh Industri 4.0 juga diperlihatkan usaha yang mana Khazanah Nasional Bhd akan membangunkan 80 ekar tanah di Subang sebagai hab aeroangkasa bertaraf dunia.

Menurutnya, Khazanah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, terutamanya MARA dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

Tambahnya, kerajaan turut bercadang meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kemahiran tenaga kerja berkaitan Industri 4.0 dengan memberikan potong cukai dua kali.

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/11/493824/rm210-juta-untuk-galakkan-peralihan-kepada-industri-40