SJMK: Bumiputera disaran rebut peluang

Utusan Malaysia

27 Januari 2011

SJMK: BUMIPUTERA DISARAN REBUT PELUANG

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Biarpun pelbagai usaha dan kemudahan disediakan kerajaan untuk membantu usahawan tempatan bumiputera, sambutan yang diterima kurang menggalakkan.

Ini dapat dilihat dalam penyertaan mereka terhadap Skim Jaminan Modal Kerja (SJMK), sebuah program yang memudahkan usahawan tempatan mendapat pinjaman daripada institusi-institusi kewangan kerana sebahagian daripada pinjaman tersebut dijamin oleh kerajaan Malaysia.

Selepas 22 hari dilancarkan, hanya 18 permohonan bernilai RM7.89 juta diterima daripada usahawan bumiputera untuk SJMK berbanding 312 (bernilai RM175 juta) daripada kaum lain.

SJMK telah dilancarkan pada 2 Januari lalu oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diberikan mandat oleh kerajaan untuk menguruskan skim tersebut.

SJMK mula diperkenalkan dalam pakej rangsangan kedua ekonomi pada tahun 2009 di mana kerajaan memperuntukkan RM7 bilion dalam bentuk jaminan bagi mengalakkan pihak institusi-institusi kewangan terus memberi pinjaman kepada usahawan PKS semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil pada ketika itu.

Di bawah SJMK, sebahagian besar risiko pinjaman terhadap usahawan PKS, ditanggung oleh pihak kerajaan. Justeru itu, pihak institusi-institusi kewangan akan lebih bersedia untuk memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan.

SJMK telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dimana peruntukan RM7 billion telah habis diguna pakai selepas enam bulan dilancarkan.

Berdasarkan sambutan menggalakkan daripada usahawan-usahawan tempatan,kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.0 billion sebagai n tambahan kepada SJMK dibawah program Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Menurut Pegawai Utama SJPP, Fazlur Rahman Ebrahim, SJMK yang diperkenalkan kerajaan menerusi programRMK-10 itu sepatutnya menjadi rebutan para usahawan tempatan termasuk bumiputera.

Ini kerana, jaminan yang diberikan oleh kerajaan itu bakal memudahkan usahawan untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan bagi menambah modal kerja mereka.

Malah, pihak institusi-institusi kewangan sudah tidak boleh berdalih lagi untuk enggan meluluskan pinjaman kepada usahawan yang layak dan berdaya saing kerana sebahagian besar risiko pinjaman ditanggung oleh pihak kerajaan.

"Peluang keemasan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan usahawan bumiputera, dimana setelah skim ini dilancarkan, sambutan yang diterima daripada usahawan bumiputera adalah tidak menggalakkan. " katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagaimanapun, keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh kurang kesedaran di kalangan usahawan bumiputera mengenai skim tersebut walaupun telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan RMK-10, tahun lalu.

"Jadi SJPP kini menjalankan tanggungjawabnya untuk menghebahkan kepada umum tentang skim yang ditawarkan kepada golongan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana terutamanya usahawan bumiputera .''kata beliau.

Fazlur berkata, peruntukan sebanyak RM1.5 bilion ini haruslah dimanfaat sepenuhnya oleh usahawan bumiputera. Melalui inisiatif kerajaan seperti ini, para usahawan terutama bumiputera yang berdaya saing tidak lagi akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, semua syarikat dengan dana pemegang saham tidak lebih RM10 juta adalah layak memohon skim ini Fazlur berkata, usahawan yang layak mendapatkan kemudahan pembiayaan ini boleh merujuk kepada mana-mana institusi kewangan yang menyertai SJMK ini.

Sejumlah 44 institusi kewangan yang terdiri daripada bank komersial, bank Islam dan institusi pembangunan kewangan di negara ini telah pun menyertai skim ini.

"Usahawan perlu memohon skim ini di institusi-institusi kewangan tersebut dengan menyertakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak pemberi pinjaman.

"Setelah kemudahan pembiayaan diluluskan oleh institusi kewangan berkenaan, salinan kelulusan pinjaman akan diserahkan kepada SJPP untuk perlindungan pinjaman, " kata beliau lagi.

Menurut Fazlur, pihak kerajaan akan memberi jaminan sebanyak 70 peratus kepada pinjaman bernilai RM50,000 sehingga RM2 juta manakala bagi pinjaman lebih RM2 juta hanya 50 peratus jaminan diberikan.

Tempoh pembiayaan di bawah skim ini adalah selama lima tahun atau tidak melebihi 31 Disember 2015.

Skim ini akan berakhir pada 31 Disember 2011 ataupun sehingga peruntukan yang disediakan habis digunakan, berdasarkan yang mana lebih dahulu.

Katanya lagi, bagi mempromosikan skim ini kepada usahawan bumiputera, SJPP akan mengadakan perjumpaan dengan dewan-dewan perniagaan Melayu di seluruh negara. ''Kami akan duduk semeja dengan usahawan bumiputera untuk berkongsi maklumat mengenai hal-hal perniagaan serta mencari penyelesaian kepada permasalahan mereka,'' kata beliau.

SJPP akan menjalankan satu inisiatif baru dengan mengadakan program usahawan berkelompok atau program kluster. Menurut Fazlur dengan berbuat demikian, ia akan memudahkan usahawan-usahawan bumiputera untuk mewujudkan jaringan sosial di dalam komuniti perniagaan.

Para usahawan yang berminat boleh mendapatkan keterangan lanjut melalui laman web SJPP di www.sjpp.com.my. Laman web berkenaan turut memberikan maklumat terkini berkenaan jumlah permohonan yang diluluskan oleh pihak SJPP.