Skim Jaminan Baharu SJPP Ditawarkan Untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo

Bernama Online

17 Ogos 2017

SKIM JAMINAN BAHARU SJPP DITAWARKAN UNTUK PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) menawarkan skim jaminan kerajaan, iaitu Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) serta Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SSGS) kepada kontraktor Bumiputera yang layak di Sarawak yang menjalankan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Kontraktor Bumiputera yang layak boleh memohon jaminan sehingga RM5 juta tiap satu daripada WCGS dan SSGS dengan yuran jaminan yang menarik, iaitu masing-masing satu peratus setahun.

Pegawai Utama dan Pengarah SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, skim terbabit adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai akses kepada kredit untuk pertumbuhan perniagaan mereka dengan penekanan khusus ke atas PKS berorientasikan eksport dan mereka yang di dalam sektor perkhidmatan.

"Selain membantu kontraktor Bumiputera dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, kedua-dua skim juga ditawarkan kepada semua PKS di Malaysia melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian dengan terma yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nungsari berkata, SJPP mempunyai peruntukan yang cukup untuk kedua-dua skim dan mengalu-alukan mereka yang layak untuk mengemukakan permohonan kepada 32 institusi kewangan yang terlibat.

Web source: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1382917