Terus perkasa PKS

Utusan Online

2 November 2018

Terus perkasa PKS

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Kerajaan menyediakan tujuh inisiatif bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara terus maju dan berdaya saing.

Menteri Kewangan. Lim Guan Eng berkata, dua inisiatif utama adalah menyediakan dana pembiayaan oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) termasuk RM1 bilion untuk PKS bumiputera.

Katanya, bagi syarikat yang berpendapatan bercukai sehingga 500,000 dan PKS dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta, kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan daripada 18 peratus kepada 17 peratus.

Selain itu, ujarnya, kerajaan juga menggalakkan eksport menerusi pembiayaan EXIM Bank dengan menawarkan kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS berjumlah RM2 bilion.

“Memperuntukkan RM100 juta bagi menambah baik keupayaan industri PKS dalam industri halal, menyediakan Skim Pembiayaan PKS patuh Shariah berjumlah RM1 bilion oleh institusi kewangan Islam dengan Kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak 2 peratus.

“Permodalan Usahawan Nasional Berhad juga akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS bumiputera. selain menyediakan RM20 juta untuk pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, di sini sebentar tadi.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan mengurangkan kadar levi lanjutan bagi pekerja asing yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun daripada RM10,000 setahun bagi setiap pekerja kepada RM3,500. – UTUSAN ONLINE

Web source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/terus-perkasa-pks-1.780226