UOB Malaysia, SJPP tawar pinjaman perniagaan tanpa cagaran kepada PKS

BH Online

23 April 2019

UOB Malaysia, SJPP tawar pinjaman perniagaan tanpa cagaran kepada PKS

KUALA LUMPUR: United Overseas Bank Malaysia Bhd (UOB Malaysia) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengakses pinjaman perniagaan tanpa cagaran.

MoU itu mengesahkan komitmen UOB Malaysia untuk membantu PKS merebut peluang baharu, memenuhi keperluan modal kerja mereka dan kemajuan melalui pelbagai peringkat pertumbuhan.

“UOB Malaysia akan memberikan nasihat kewangan dan penyelesaian SJPP-UOB BizMoney, kemudahan pinjaman yang dijamin kerajaan, kepada lebih tiga juta PKS yang pemiliknya bergabung dengan persekutuan.

“Melalui penyelesaian SJPP-UOB BizMoney, PKS boleh mendapat pinjaman tanpa cagaran sehingga RM1 juta. SJPP akan menjamin sehingga 70 peratus daripada pinjaman melalui jaminan modal kerjanya dan skim jaminan proses automasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Perniagaan UOB Malaysia, Raymond Chui, berkata komitmen bank ialah menyokong pembangunan dan kemajuan PKS tempatan serta menyediakan penyelesaian pembiayaan yang fleksibel untuk membantu memenuhi keperluan unik mereka dan cabaran.

“Kami boleh menyokong lebih banyak PKS di seluruh negara dengan menawarkan kepada mereka fleksibiliti untuk mengakses tambahan modal kerja tanpa perlu cagaran dan langkah ini akan membantu mereka maju ke peringkat pertumbuhan seterusnya,” katanya.

Ditubuhkan pada 2009, SJPP adalah pentadbir dan pengurus skim jaminan kredit di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia merupakan persatuan perdagangan yang mewakili kepentingan lebih tujuh juta rakyat Malaysia berketurunan hokkien, iaitu lebih daripada separuh adalah pemilik PKS.

– BERNAMA

Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/04/556213/uob-malaysia-sjpp-tawar-pinjaman-perniagaan-tanpa-cagaran-kepada-pks