Usahawan muda digesa manfaat tahun promosi PKS

Utusan Online

21 January 2017

USAHAWAN MUDA DIGESA MANFAAT TAHUN PROMOSI PKS

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggalakkan usahawan muda untuk memanfaatkan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan 2017 sebagai tahun untuk promosi syarikat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, usahawan muda Malaysia sangat berbakat dan kreatif dalam perniagaan mereka, sama ada perniagaan di luar talian atau dalam talian.

“Sebagai agensi kerajaan, Matrade mahu terus membantu mendidik mereka untuk mengembangkan perniagaan dan meneroka pasaran di luar negara.

Ini boleh dilakukan melalui program anjuran Matrade iaitu Program Latihan Pengeksport dan e-Dagang, yang merupakan inisiatif untuk meningkatkan penerimaan PKS dalam platform e-dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Indienomics dan Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) di sini hari ini.

Noraini berkata, Matrade mendapati terdapat aliran meningkat perniagaan dalam talian dalam kala¬ngan belia memandangkan ia dapat menjimatkan kos selain pantas.

“Kami sudah dihubungi oleh syarikat-syarikat untuk membantu mereka, dan berharap lebih banyak akan tampil ke hadapan,” katanya.

MoU itu akan menyaksikan peserta Mantap menjalani program latihan dan pekerjaan di syarikat yang berdaftar dengan Indienomics.

Indienomics merupakan Gerakan Keusahawanan yang menggabungkan lebih 30 ikon Usahawan Muda daripada pelbagai industri seperti logistik, fesyen, penerbitan buku, hartanah dan komersial.

Peserta Mantap pula terdiri daripada pelajar lepasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, termasuk dari luar negara.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa 2017 sebagai tahun promosi untuk syarikat permulaan dan PKS, adalah selari dengan peranan PKS dalam menyumbang kepada pertumbuhan negara dan pasaran buruh.

Kerajaan memperuntukkan RM75 juta untuk program di bawah Pelan Induk PKS, dan RM15 bilion bagi pelbagai skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Sejumlah RM200 juta juga sudah diagihkan daripada Skim Jaminan Modal Kerja untuk mencergaskan syarikat permulaan.

– BERNAMA

Web source: https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/usahawan-muda-digesa-manfaat-tahun-promosi-pks-1.433989