Belanjawan 2021: BNM sedia inisiatif pembiayaan tambahan

BH Online

7 November 2020

Belanjawan 2021: BNM sedia inisiatif pembiayaan tambahan


Bank Negara Malaysia (BNM)- NSTP/Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Menyedari bahawa persekitaran ekonomi masih mencabar bagi sesetengah peminjam, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan inisiatif termasuk kemudahan pembiayaan tambahan dan peningkatan kepada bantuan bayaran balik bersasar.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata, langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha yang berterusan oleh industri kewangan untuk membantu memulihkan ekonomi, di samping memelihara kesejahteraan sumber pendapatan rakyat Malaysia.

BNM akan menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan bagi memberikan bantuan dan menyokong pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) bernilai RM2 bilion.

TRRF akan disediakan melalui institusi kewangan peserta pada kadar konsesi sehingga 3.5 peratus, dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC).

"Kemudahan ini dijangka dibuka untuk permohonan mulai 1 Disember 2020," menurut bank pusat itu.

Memandangkan pentingnya sektor teknologi tinggi dan firma pemacu inovasi dalam merealisasikan peluang pertumbuhan baharu, Kemudahan Teknologi Tinggi (HTF) bernilai RM500 juta menyasarkan untuk mengekalkan kedudukan kompetitif Malaysia dalam rantaian nilai global dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.

BNM berkata, butiran lanjut mengenai HTF akan diumumkan pada 1 Disember 2020.

Sementara itu, BNM berkata Kemudahan Perusahaan Mikro akan dinaikkan nilainya daripada RM300 juta kepada RM410 juta dengan baki peruntukan yang tersedia sebanyak RM200 juta untuk menyokong perusahaan mikro termasuk pekerja sambilan yang menggunakan platform digital dan pekerja yang bekerja sendiri.

Sejajar dengan peningkatan peruntukan untuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), program iTEKAD akan turut diluaskan dengan penyertaan lebih banyak institusi kewangan Islam melalui kerjasama rangkaian rakan pelaksana dan rakan negeri yang lebih meluas dalam program ini pada tahun 2021.

BNM berkata, bantuan kewangan akan disediakan oleh kerajaan untuk golongan B40 dalam bentuk baucar bagi pembelian perlindungan insurans dan takaful di bawah skim Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen.

"Baucar bantuan kewangan sebanyak RM50 akan diberikan kepada penerima BPN yang layak bagi membantu mereka membeli produk Perlindungan Tenang bermula 1 April 2021," katanya. -BERNAMA