BIMB jangka Belanjawan 2020 adalah belanjawan pengembangan

Bernama

6 October 2019

BIMB jangka Belanjawan 2020 adalah belanjawan pengembangan

KUALA LUMPUR, 6 Okt -- Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) menjangkakan Belanjawan 2020 akan menjadi belanjawan pengembangan, dengan strategi khusus untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama meneruskan usaha membina kapasiti, khususnya dalam sektor penting.

Sektor itu termasuk elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan, produk kimia dan kimia, aeroangkasa, peralatan perubatan dan pelancongan, kata Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed.

Bagaimanapun, beliau berkata belanjawan pengembangan berstrategi adalah tugas yang mencabar, dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global semasa seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlarutan, isu '’tiada rundingan'’ Brexit dan ketegangan geopolitik yang lain.

"Faktor ini telah secara langsung memberi kesan terhadap harga minyak mentah serta eksport kita yang lain, dan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Okt oleh Menteri Kewangan perlu mengambil kira ketidakpastian luaran itu, menjadikan belanjawan pengembangan tugas yang mencabar," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, berhubung harapan BIMB dalam belanjawan itu, Mohd Muazzam berkata bank itu berharap peruntukan kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dapat ditingkatkan bagi membolehkan bank menyediakan lebih banyak perkhidmatan pembiayaan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Langkah itu akan meningkatkan keyakinan institusi kewangan dalam menyediakan pinjaman kepada PKS dari segi pengurusan risiko kredit, katanya.

SJPP, milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, menjamin pinjaman yang diberikan oleh bank kepada PKS di bawah Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Pembiayaan Penstrukturan Semula Industri.

BIMB juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan untuk memulakan projek-projek infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada sektor pembinaan dan rantaian bekalan PKS.

Projek infrastruktur mega, seperti lebuh raya Pan Borneo, Transit Aliran Massa dan rel berkelajuan tinggi membantu memacu pertumbuhan ekonomi, kata Mohd Muazzam.

Beliau juga berharap kerajaan akan meneruskan subsidi minyak bagi mengekalkan kuasa beli dan penggunaan domestik, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan kumpulan pendapatan terbawah (B40), dan hanya meneruskan rasionalisasi subsidi sebaik sahaja keadaan ekonomi bertambah baik.

Mohd Muazzam berkata Kempen Pemilikan Rumah (HOC) juga patut diteruskan, kerana penjualan unit rumah dalam kalangan pembeli kali pertama telah meningkat melalui insentif seperti diskaun untuk hartanah yang disenaraikan di bawah skim HOC dan pengecualian setem duti 100 peratus bagi hartanah perumahan bernilai RM1 juta dan ke bawah.

"Kami juga berharap pembangunan tanah wakaf dapat diterokai dalam belanjawan akan datang kerana terdapat lebih 11,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara," katanya, sambil menambah, tanah itu dapat digunakan untuk membangunkan rumah mampu milik, terutamanya untuk kumpulan B40.

Katanya bank itu juga berharap insentif potongan cukai untuk derma diperluaskan untuk memasukkan wakaf tunai bagi meningkatkan pertumbuhannya, memandangkan wang itu akan disalurkan kepada projek-projek yang akan meningkatkan daya saing ekonomi.

-- BERNAMA

Web source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1775462