Pewujudan kerja dengan gaji munasabah diberi penekanan Belanjawan 2020

BH Online

1 October 2019

Pewujudan kerja dengan gaji munasabah diberi penekanan Belanjawan 2020

PUTRAJAYA: Belanjawan 2020 akan memberi penekanan kepada usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang kerja dengan gaji munasabah untuk memberikan semangat dan motivasi kepada rakyat Malaysia untuk bekerja, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat peluang samarata untuk mencari kerja yang memberikan gaji munasabah.

“Saya percaya pekerja Malaysia adalah lebih baik daripada pekerja asing daripada Bangladesh dan Myanmar tetapi anda perlu beri mereka insentif yang betul.

“Tiada sebab untuk pekerja kita terlepas peluang untuk bekerja kepada pekerja Myanmar dan Bangladesh, tetapi apa yang kurang mungkin motivasi dan semangat, yang boleh ditemukan menerusi gaji lebih baik,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini.

Guan Eng berkata penekanan juga akan diberikan tentang bagaimana untuk mewujudkan kerja yang memberikan gaji munasabah yang sepadan dengan kemahiran mereka.

Dalam ucapannya pada mesyuarat perundingan Belanjawan 2020 pada 27 Jun lalu, Guan Eng berkata, kerajaan kini aktif menguruskan tekanan kos hidup yang dihadapi rakyat.

Kadar inflasi bagi Mac, April dan Mei 2019 kekal rendah dan stabil pada 0.2 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan upah juga sama penting dengan pengurusan kos hidup kerana adalah kurang selesa untuk mengambil kira kedudukan daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sekiranya upah tidak turut naik.

“Untuk mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi, satu-satunya cara yang mampan untuk berbuat demikian adalah dengan meningkatkan produktiviti kita.

“Kerajaan telah mengenal pasti Industri 4.0 sebagai sumber baharu pertumbuhan produktivi dan ekonomi. Ini secara spesifiknya bermakna pendigitalan ekonomi, dan guna pakai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, data besar dan robotik dalam kehidupan seharian kita dengan lebih meluas,” katanya.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk memangkin proses pendigitalan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), seperti skim jaminan oleh syarikat milik kerajaan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan RM3 bilion menerusi Dana Transformasi Pendigitalan Industri dikendalikan Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Sementara itu, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan turut mengamalkan dasar baharu pada tahun ini yang akan memulangkan semua simpanan dibuat oleh mana-mana kementerian, menerusi pembaharuan pentadbiran, kepada kementerian yang sama.

Beliau berkata, di masa lepas, simpanan ini akan dikembalikan semula kepada kerajaan tetapi dengan dasar baharu ini, kementerian kini boleh menikmati sepenuhnya simpanan dijana daripada pembaharuan pentadbiran.

“Ini akan membolehkan mereka menjalankan lebih banyak projek kerana kerana mereka tidak lagi perlukan kelulusan Kementerian Kewangan apabila mereka perlu menggunakan simpanan itu.

“Kami melihat kementerian-kementerian sudah begitu bersemangat untuk mengurangkan kos kerana mereka boleh menggunakan simpanan untuk projek lain. Kami fikir ini akan menjadi pencetus perubahan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – BERNAMA

Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/612840/pewujudan-kerja-dengan-gaji-munasabah-diberi-penekanan-belanjawan