SPIS bantu PKS dapat dana pembiayaan

Harian Metro

18 August 2021

SPIS bantu PKS dapat dana pembiayaan


Bank Rakyat juga menyediakan platform untuk bank berinteraksi dengan pelanggan melalui pengimbasan kod QR yang dikenali sebagai QR2E.

Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan kemudahan pembiayaan baharu khusus bagi menyokong usahawan industri sukan negara menerusi Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, kemudahan SPIS diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan menerusi dana sebanyak RM10 juta yang disalurkan oleh Medac.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara menyebabkan semua acara dan pertandingan sukan tidak dapat dianjurkan dan menyebabkan kebanyakan usahawan dalam industri ini mengalami penurunan jualan, malah ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.

"Justeru, sebagai institusi kewangan pembangunan, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi menyediakan kemudahan kewangan kepada komuniti usahawan mikro dan PKS daripada pelbagai sektor ekonomi," katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, Bank Rakyat meluluskan jumlah pembiayaan melebihi RM1.72 juta dalam sektor sukan.

Kemudahan SPIS ini dijangka dapat meningkatkan pemfokusan Bank dalam sektor sukan termasuk bidang perkhidmatan dan peruncitan.

Selain itu, inisiatif ini adalah antara bantuan Bank Rakyat untuk pengusaha PKS selain daripada Bantuan Pembayaran Pembiayaan Bersasar dan pengumuman moratorium menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan pada 28 Jun lalu.

Menerusi program ini, nilai pembiayaan yang akan disalurkan adalah daripada RM20,000 sehingga RM500,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan serta terma dan syarat manakala tempoh bayaran balik pembiayaan sehingga tujuh tahun termasuk tempoh moratorium sehingga sembilan bulan.

Usahawan industri sukan yang boleh membuat permohonan termasuk pusat kecergasan, runcit, pengendali pusat sukan, penjagaan kesihatan (psikologi, fisioterapi), aktiviti perniagaan (pereka, penyelidik, wartawan, ejen atlet, penganjur acara, perunding tajaan, pakar perlesenan dan perdagangan).

Selain itu, perniagaan mestilah berdaftar serta menjalankan aktiviti perniagaan yang patuh Syariah.

Pada masa sama, Bank Rakyat menawarkan Pembiayaan Mikro-i, BR Flexi-i, BR SJPP (Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan), Pembiayaan Harta-i, dan Pembiayaan Modal Kerja-i kepada usahawan mikro, PKS dan koperasi yang memerlukan dana dan pembiayaan untuk mengembangkan dan meningkatkan lagi perniagaan mereka.

Bank Rakyat juga menyediakan platform untuk Bank berinteraksi dengan pelanggan melalui pengimbasan kod QR yang dikenali sebagai QR2E bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan.

 

(Web source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/08/743762/spis-bantu-pks-dapat-dana-pembiayaan)