9,000 usahawan MARA boleh tangguh bayar balik pinjaman

Kosmo

28 June 2021

9,000 usahawan MARA boleh tangguh bayar balik pinjaman


Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kira-kira 9,000 usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terjejas dengan Covid-19 dibenarkan menangguh balik pembiayaan perniagaan MARA untuk tempoh tiga bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga mempunyai pilihan untuk melakukan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan tersebut dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.

Beliau berkata, MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021.

“Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini.

“Saya sarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM20 bilion. – K! ONLINE

 

Web source: https://www.kosmo.com.my/2021/06/28/9000-usahawan-mara-boleh-tangguh-bayar-balik-pinjaman/