‘Kita boleh pergi jauh apabila bersama’, filem pendek sarat mesej

Harian Metro

26 Mac 2026

‘Kita boleh pergi jauh apabila bersama’, filem pendek sarat mesej

 Filem pendek ‘Kita boleh pergi jauh apabila bersama’ bawa mesej berguna untuk peniaga

Kuala Lumpur: Kejayaan sebenar dunia perniagaan tidak dibina oleh seorang 'superhero', sebaliknya ia adalah hasil kerja keras serta gabungan ketekunan luar biasa merangkumi kerjasama berpasukan dan sistem sokongan padu yang menjadi tulang belakang.

Tanpa itu semua, impian setinggi langit hanyalah sebuah pelan di atas kertas yang menunggu masa untuk pudar.

Itu mesej mendalam yang ingin disampaikan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) menerusi naskhah filem pendek raya sulungnya.

Filem itu memaparkan realiti liku-liku dunia perniagaan yang menuntut ketekunan, kerjasama dan sistem sokongan padu untuk kekal bertahan dalam pasaran.

Mengangkat kisah tiga sahabat yang mengusahakan perniagaan bermusim di bulan Ramadan, penonton dibawa melihat bagaimana usaha kecil-kecilan mampu berkembang menjadi empayar inovatif hasil gabungan kemahiran dan idea.

Bagaimanapun, adat berniaga tidak lari daripada konflik. Perbezaan perspektif menyebabkan mereka membawa haluan sendiri sebelum menyedari bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada individu, sebaliknya pada visi yang dikongsi bersama.

Pemangku Pegawai Utama SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil berkata, plot cerita berkenaan adalah refleksi sebenar kepada perjalanan ramai usahawan di negara ini.

"Keusahawanan jarang sekali dibina melalui jalan yang mudah. Ramai pemilik perniagaan menghadapi cabaran dan saat-saat ketidakpastian di sepanjang perjalanan.

"Apa yang penting ialah ketabahan dan kesediaan untuk maju bersama serta mendapatkan sokongan yang tepat," katanya.

 Mesej mendalam yang ingin disampaikan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) menerusi naskhah filem pendek raya sulungnya

Menurutnya, mesej filem itu selari dengan landskap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan yang lazimnya bermula secara kecil-kecilan namun berpotensi besar untuk berkembang jika disokong ekosistem yang betul.

Jelasnya lagi, SJPP komited merapatkan jurang antara cita-cita usahawan dengan akses modal menerusi skim jaminan kerajaan bagi memastikan PKS berpotensi tidak ketinggalan.

"Seperti Kisah Raya SJPP, kejayaan selalunya datang daripada gabungan ketekunan, kerjasama dan sistem sokongan yang tepat," katanya.

Orang ramai boleh menonton filem pendek menyentuh perasaan ini menerusi saluran YouTube rasmi SJPP.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/rap/rapextra/2026/03/1337888/kita-boleh-pergi-jauh-apabila-bersama-filem-pendek-sarat-mesej)