Lebih seperempat pinjaman PKS diberikan kepada peminjam kali pertama pada separuh pertama 2021 – BNM

Bernama Malay

29 September 2021

Lebih seperempat pinjaman PKS diberikan kepada peminjam kali pertama pada separuh pertama 2021 – BNM

KUALA LUMPUR, 29 Sept -- Lebih seperempat daripada pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diluluskan adalah untuk peminjam kali pertama untuk sepanjang tahun ini, sementara pinjaman yang diluluskan untuk PKS baharu - yang ditubuhkan tidak lebih daripada tiga tahun - mencakupi hampir 20 peratus daripada jumlah pinjaman PKS yang diluluskan.

Pinjaman ini membantu PKS meneruskan aktiviti perniagaan, terutamanya ketika mereka berusaha untuk menyesuaikan operasi atau merebut peluang perniagaan yang baharu sebagai tindak balas terhadap kesan jangka pendek dan jangka lebih panjang yang akan berlaku akibat pandemik, kata Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.

Pinjaman PKS secara keseluruhan meningkat sebanyak 6 peratus (Dis 2020: 9.6 peratus), dengan kadar kelulusan pinjaman PKS bertambah kepada 77.3 peratus (Dis 2020: 73.3 peratus; purata lima tahun: 82.8 peratus).

Pembiayaan untuk aktiviti berkaitan pelaburan yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran PKS, terus bertambah walaupun pada kadar yang lebih sederhana (Jun 2021: 2.4 peratus; Dis 2020: 7.6 peratus), kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, pembiayaan untuk modal kerja meningkat sebanyak 9.2 peratus (Dis 2020: 12.3 peratus), didorong terutamanya oleh sektor yang berurusan secara langsung dengan pengguna seperti sektor borong dan runcit, hotel dan restoran serta pengangkutan yang terus menghadapi rintangan dalam persekitaran yang mencabar.

Dana BNM untuk PKS juga membantu memberikan sokongan selanjutnya kepada PKS dari segi pemberian pinjaman.

Dana ini membolehkan bank menawarkan pembiayaan pada kadar konsesi dengan cara mengurangkan kos dana bank dan menambah baik profil kredit peminjam melalui jaminan yang disusun lebih awal, Ia kini mewakili sekitar lima peratus daripada pembiayaan terkumpul bagi PKS, berbanding dengan purata sebelum pandemik (2015-2019) sebanyak dua peratus.

Di samping itu, bank-bank juga memanfaatkan skim jaminan kredit lain yang disediakan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP).

"Kira-kira tujuh peratus daripada pembiayaan terkumpul untuk PKS bersandarkan jaminan kredit di bawah skim-skim ini. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding dengan paras sebelum pandemik (purata 2015-2019: empat peratus), yang mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati oleh bank-bank sehingga adanya perkembangan yang lebih jelas tentang prestasi pinjaman PKS yang sedang menerima bantuan bayaran balik pinjaman," kata BNM.

Peminjam PKS juga lebih keberatan untuk menanggung hutang tambahan melainkan jika perlu.

"Faktor-faktor ini dapat membendung risiko peningkatan leveraj dalam kalangan PKS meskipun terdapat peminjaman yang lebih tinggi untuk modal kerja disebabkan oleh pandemik," tambahnya.

-- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2008401)