Pelbagai bantuan bantu PKS

Utusan Malaysia

28 June 2021

Pelbagai bantuan bantu PKS


BANK Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS.

PUTRAJAYA: Kerajaan terus menyokong sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan dengan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sebanyak RM20 bilion menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM56.5 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai langkah berterusan untuk membantu sektor PKS kekal relevan dan berdaya saing di di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Katanya, SJPP telah pun meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan di bawah SJPP sebanyak RM10 bilion bagi tahun 2021 kepada RM36.5 bilion.

“Sehingga 24 Jun lalu, SJPP memberikan jaminan bagi pembiayaan bernilai RM33.4 bilion kepada lebih 45,000 buah syarikat,” katanya.

Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS.

Katanya, sehingga kini, masih terdapat RM6.6 bilion baki sedia ada daripada keseluruhan RM25.1 bilion yang disediakan BNM untuk manfaat pemohon baharu.

“Melalui pakej PEMULIH hari ini, BNM bersetuju untuk menambah RM2 bilion lagi menjadikan baki dana ini berjumlah RM8.6 bilion.

“Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion.

Kata beliau, pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah RM500 juta dan TEKUN sebanyak RM100 juta.

“Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak RM3 bilion dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro.

“Institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan RM20 juta bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Web source: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/pelbagai-bantuan-bantu-pks/