Peruntukan tambahan RM5 bilion di bawah SJPP – PM Anwar

TVS

21 April 2026

Peruntukan tambahan RM5 bilion di bawah SJPP – PM Anwar

 Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media sesi meja bulat bersama institusi kewangan di sini, hari ini. Foto Azmeerul Ahmad (TVS)

KUALA LUMPUR, 21 April: Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, tambahan itu menyaksikan jumlah peruntukan keseluruhan yang disalurkan di bawah SJPP berjumlah RM 10 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu diambil bagi memacu pertumbuhan dan sebagai pemangkin kepada syarikat-syarikat yang memerlukan bantuan.

“Saya dah arahkan Gabenor BNM dan perinciannya dalam beberapa hari lagi.

“Bantuan ini mesti melibatkan syarikat-syarikat yang lebih kecil. Kita (kerajaan) minta pastikan semua kemudahan lain, CGC dan lain-lain yang ada dalam rencana BNM supaya melibatkan juga kelompok pertanian, pekebun kecil, nelayan, dan penjaja.

Beliau berkata demikian pada sidang media sesi meja bulat bersama institusi kewangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Mengulas lanjut, Anwar berkata langkah untuk memberi tumpuan kepada syarikat dan perusahaan kecil bertujuan bagi memastikan mereka tidak terpinggir dan terabai.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan membawa beberapa perkara berbangkit dan memerlukan perhatian melibatkan pelaksanaan SJPP ke Jemaah Menteri untuk dibentangkan.

Anwar menjelaskan, ia bagi membolehkan segala proses melibatkan SJPP dipercepatkan dan kelulusan tidak terlalu mengambil masa yang panjang.

“Dalam keadaan menghadapi isu dan krisis sekarang ini, kecekapan, kepantasan dan membuat keputusan itu sangat mendesak,” tegasnya. – TVS

 

(Web source: https://www.tvsarawak.my/2026/04/21/peruntukan-tambahan-rm5-bilion-di-bawah-sjpp-pm-anwar/)