PKS terus dibantu

Harian Metro

30 September 2021

PKS terus dibantu


Peniaga di Taman Meniaga Taman Medan menjalankan aktiviti perniagaan ketika tinjauan, semalam.

Lebih seperempat daripada pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diluluskan adalah untuk peminjam kali pertama untuk sepanjang tahun ini, sementara pinjaman yang diluluskan untuk PKS baharu yang ditubuhkan tidak lebih daripada tiga tahun mencakupi hampir 20 peratus daripada jumlah pinjaman PKS yang diluluskan.

Pinjaman ini membantu PKS meneruskan aktiviti perniagaan, terutama ketika mereka berusaha untuk menyesuaikan operasi atau merebut peluang perniagaan yang baharu sebagai tindak balas terhadap kesan jangka pendek dan jangka lebih panjang yang akan berlaku akibat pandemik, kata Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, semalam.

Pinjaman PKS secara keseluruhan meningkat sebanyak 6 peratus (Disember 2020: 9.6 peratus), dengan kadar kelulusan pinjaman PKS bertambah kepada 77.3 peratus (Disember 2020: 73.3 peratus; purata lima tahun: 82.8 peratus).

Pembiayaan untuk aktiviti berkaitan pelaburan yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran PKS, terus bertambah walaupun pada kadar yang lebih sederhana (Jun 2021: 2.4 peratus; Disember 2020: 7.6 peratus), kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2021 yang dikeluarkan semalam.

Sementara itu, pembiayaan untuk modal kerja meningkat sebanyak 9.2 peratus (Disember 2020: 12.3 peratus), didorong terutama oleh sektor yang berurusan secara langsung dengan pengguna seperti sektor borong dan runcit, hotel dan restoran serta pengangkutan yang terus menghadapi rintangan dalam persekitaran yang mencabar.

Dana BNM untuk PKS juga membantu memberikan sokongan selanjutnya kepada PKS dari segi pemberian pinjaman.

Dana ini membolehkan bank menawarkan pembiayaan pada kadar konsesi dengan cara mengurangkan kos dana bank dan menambah baik profil kredit peminjam melalui jaminan yang disusun lebih awal, ia kini mewakili kira-kira lima peratus daripada pembiayaan terkumpul bagi PKS, berbanding dengan purata sebelum pandemik (2015-2019) sebanyak dua peratus.

Di samping itu, bank juga memanfaatkan skim jaminan kredit lain yang disediakan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP).

"Kira-kira tujuh peratus daripada pembiayaan terkumpul untuk PKS bersandarkan jaminan kredit di bawah skim-skim ini. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik (purata 2015-2019: empat peratus) yang mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati oleh bank sehingga adanya perkembangan yang lebih jelas mengenai prestasi pinjaman PKS yang menerima bantuan bayaran balik pinjaman," kata BNM.

 

(Web source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/09/760807/pks-terus-dibantu)