Berita Harian
10 October 2025
RM2.4 bilion diperuntukan bagi menyokong, perkukuh kapasiti kontraktor Bumiputera G1 hingga G4
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Nabila Adlina Azahari
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan khusus bagi menyokong kelangsungan dan memperkukuh kapasiti kontraktor Bumiputera G1 hingga G4, selaras dengan usaha memperkasa penyertaan usahawan berkenaan.
Langkah itu adalah sebahagian daripada agenda besar Kerajaan MADANI memperkasa ekonomi Bumiputera yang kini dipacu melalui pendekatan lebih terangkum di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Rakyat Bumiputera (PuTERA35).
Keutamaan diberikan kepada pembiayaan, pembangunan bakat dan pemilikan strategik supaya lebih ramai usahawan Bumiputera dapat melonjak ke sektor bernilai tambah tinggi.
Daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebanyak RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan Bumiputera.
Selain itu, program Jaguh Serantau, SME Bank menyediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.
Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA pula menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera khususnya kontraktor muda industri pembinaan.

