SME Bank peruntuk RM200 juta bantu usahawan dalam sektor 3D

Bernama Malay

28 June 2021

SME Bank peruntuk RM200 juta bantu usahawan dalam sektor 3D

KUALA LUMPUR, 28 Jun -- SME Bank memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Geran Padanan PEMERKASA bagi membantu usahawan daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) terutamanya dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang masih terkesan akibat pandemic COVID-19.

Langkah yang diambil bank itu adalah susulan daripada pengumuman PEMERKASA oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata sektor 3D adalah antara sektor yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana operasi perniagaan mereka telah tergendala akibat daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak tahun lepas.

“Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini akan membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara 4 peratus hingga 5 peratus setahun.

“Untuk setiap pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan yang diberikan. Ini akan membolehkan usahawan PKS membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, “ katanya.

Aria Putera berkata pelanggan juga berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat SME Bank.

Kemudahan pembiayaan ini juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Pelanggan SME Bank dan usahawan PKS yang berminat untuk mengetahui tentang Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA SME Bank boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di talian 03-26037700, pengurus perhubungan mereka atau layari laman web rasmi www.smebank.com.my.

-- BERNAMA

 

Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1976589