Berita Harian
2 November 2025
Defisit negara turun, hutang kekal terkawal
Kos khidmat hutang pula dijangka mencecah RM58 bilion tahun depan, iaitu hampir 17 peratus daripada hasil. Amalan baik secara pentadbiran adalah untuk mengawal kos ini agar tidak melebihi 15 peratus. - Foto hiasan
PENDEDAHAN hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.69 trilion atau 84.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2025 berbanding RM1.63 trilion atau 84.5 peratus pada akhir Disember 2024 dilaporkan mencetuskan kegusaran awam.
Hakikatnya, hutang dan liabiliti kerajaan terdiri daripada hutang kerajaan Persekutuan, komitmen jaminan, obligasi kewangan daripada projek kerjasama awam-swasta dan inisiatif pembiayaan awam-swasta.
Wartawan BH Ahad, Mahanum Abdul Aziz mendapatkan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berhubung kedudukan sebenar hutang negara, keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi dan kaitannya dengan Belanjawan 2026.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Soalan (S): Boleh Datuk jelaskan paras hutang negara secara keseluruhan?
Jawapan (J): Hutang secara keseluruhan berada pada paras 84 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Hutang keseluruhan merangkumi terbitan hutang oleh kerajaan Persekutuan menerusi bon dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) serta liabiliti seperti jaminan kerajaan yang komited. Paras hutang kerajaan menerusi terbitan bon dan MGS berada pada paras 64 peratus dan berjumlah RM1.25 trilion pada akhir 2024.
Keadaan hutang sekarang memang lebih tinggi daripada apa yang boleh kita katakan tahap yang mampan. Itulah sebabnya di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA), kita ada sasaran untuk mengurangkan tahap hutang negara kepada 60 peratus daripada KDNK. Kos khidmat hutang pula dijangka mencecah RM58 bilion tahun depan, iaitu hampir 17 peratus daripada hasil. Amalan baik secara pentadbiran adalah untuk mengawal kos ini agar tidak melebihi 15 peratus.
S: Apakah langkah kerajaan untuk mengawal hutang dan liabiliti ini?
J: Di bawah FRA, selain daripada sasaran defisit fiskal 3.0 peratus, kami menetapkan had sasaran hutang negara pada paras 60 peratus daripada KDNK, sementara dari segi jaminan kerajaan, sasarannya adalah 25 peratus daripada KDNK. Sasaran ini ditetapkan untuk jangka masa sederhana bagi memastikan kedudukan fiskal kekal mampan.
Bagi jaminan kerajaan, ia termasuk pembiayaan projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), yang mana pinjaman dibuat oleh agensi seperti MRT Corp atau Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan jaminan kerajaan.
S: Adakah kerajaan bimbang dengan jaminan seperti Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berdepan kegagalan membayar balik pinjaman?
J: Setakat ini, prestasi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) amat memberangsangkan. Walaupun kerajaan mengeluarkan jaminan yang banyak, termasuk ketika COVID-19, kadar hutang lapuk masih terkawal. Mengambil kira keadaan semasa dan tinjauan tahun depan, kita dapati penting untuk meneruskan skim itu. Di peringkat institusi kewangan pembangunan (DFI) seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Pembangunan juga tidak ada isu yang membimbangkan dari segi keberhutangan, malah, memainkan peranan penting membiayai projek sektor swasta.
S: Ada kemungkinan agensi penarafan hutang akan menaikkan penarafan hutang negara?
J: Kerajaan sentiasa mengharapkan penarafan dinaikkan. Apa yang penting, setakat ini laporan daripada agensi penarafan tidak menunjukkan tinjauan negatif. Mereka mengiktiraf usaha pembaharuan fiskal dilaksanakan kerajaan dan ekonomi kita masih berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan global. Kita masih mencatatkan pertumbuhan yang kukuh. Jika ditinjau daripada sudut prestasi ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, dalam tempoh dua tahun, sudah nampak hasilnya. Kadar kemiskinan tegar menurun daripada 0.2 peratus kepada 0.09 peratus dan saya percaya pada 2025, ia akan turun lagi. Kadar kemiskinan keseluruhan juga turun daripada 6.2 kepada 5.1 peratus. Ini menunjukkan usaha kerajaan hampir menoktahkan kemiskinan tegar. Dari sudut ekonomi, sukar mencapai 'sifar mutlak'. Namun, apa yang penting, kita menuju ke arah yang betul. Kita mencatatkan kemajuan ketara dalam pengurangan kemiskinan keseluruhan dan kemiskinan tegar.
S: Dari segi pelaburan dan keyakinan pasaran, apa pencapaiannya?
J: Pelaburan diluluskan mencatat rekod tertinggi tahun lalu sebanyak RM384 bilion dan separuh pertama tahun ini pun nampaknya momentum berterusan dan masih kukuh sebanyak RM190 bilion walaupun berdepan ketidaktentuan global. Keyakinan pelabur juga dilihat tahun ini dengan ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hampir enam peratus dan menjadi antara mata wang asing berprestasi terbaik di rantau ini. Kedudukan Malaysia juga melonjak dalam Laporan Daya Saing Dunia 2025 daripada tangga ke-34 kepada tangga ke-23, iaitu prestasi terbaik sejak 2020 menunjukkan kepercayaan pelabur terhadap reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
S: Bagaimana prestasi ekonomi negara tahun ini?
J: Setakat ini, pertumbuhan 4.4 peratus dicatatkan pada separuh pertama tahun ini. Ia mungkin rendah sikit berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan kesan ketidaktentuan dicetuskan tarif timbal balas AS yang turut dirasai di seluruh dunia. Namun, pertumbuhan 4.4 peratus itu boleh dikatakan masih tahap kukuh. Ia juga menyumbang kepada kadar pengangguran terus berkurangan. Sekarang di paras 3.0 peratus berbanding 3.2 peratus tahun lalu. Kadar pengangguran pada 3.0 peratus itu adalah di bawah paras pra-COVID dan juga terendah untuk 10 tahun.
S: Apakah unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2025 dan 2026?
J: Dengan perkembangan global, kita sudah membuat semakan semula unjuran kepada antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada Julai lalu berbanding unjuran awal 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. Namun, anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan bagi suku ketiga 2025, ekonomi negara dijangka berkembang 5.2 peratus. Ini amat positif dan ia di luar jangkaan. Justeru, kami rasa mungkin boleh capai paras atas dalam julat unjuran. Prospek 2026 pula, berdasarkan tinjauan ekonomi yang dikeluarkan dalam Belanjawan 2026, kita melihat keadaan tahun depan akan menyederhana sikit berbanding 2025. Ia berikutan perkembangan global menimbulkan ketidaktentuan ekonomi, yang mana pelaburan dan perdagangan global mungkin akan sedikit terjejas. Justeru, kerajaan merangka Belanjawan 2026 dengan pendekatan fiskal mengembang supaya menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
Strategi pengurangan defisit berperingkat rangsang ekonomi
Soalan (S): Ada pandangan kerajaan perlu lebih agresif mengurangkan defisit?
Jawapan (J): Kami tidak bersetuju dengan pendekatan terlalu ketat. Dalam suasana ekonomi tidak menentu, langkah drastik boleh menjejaskan pertumbuhan. Pendekatan kami ialah pengurangan berperingkat sambil memastikan ekonomi kekal disokong oleh dasar fiskal mengembang. Ada yang berpendapat perbelanjaan besar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh menjejaskan sektor swasta. Dalam hal ini, keadaan global tidak menentu, pelaburan kerajaan dan GLC penting untuk mengekalkan keyakinan pasaran dan merangsang aktiviti ekonomi domestik. Ia juga mencetus kesan pengganda kepada sektor swasta.
Disiplin fiskal dan pembaharuan ekonomi terus dilaksanakan dengan konsisten bagi mengukuhkan keyakinan pelabur supaya terus membuat pelaburan yang memacu pembangunan ekonomi. - Foto hiasan
S: Betulkah perbelanjaan pembangunan (DE) semakin mengecil?
J: Tidak. Sebenarnya, berdasarkan kemajuan sebenar prestasi tahun ini, kita membuat semakan semula bagi jangkaan 2025 kepada hanya RM80 bilion berbanding anggaran sebelumnya RM86 bilion. Bagi tahun depan sebanyak RM81 bilion. Sebenarnya tidak ada pengurangan. Lagipun, Belanjawan 2026 adalah tahun pertama untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan dengan ini, terdapat banyak projek pembangunan baharu yang diluluskan. Bagi 2026, DE ialah RM81 bilion berbanding RM80 bilion tahun ini. Tahun pertama memang biasanya rendah dan ia akan meningkat secara berperingkat sepanjang tempoh rancangan lima tahun itu.
S: Dari mana datangnya dana tambahan untuk merangsang ekonomi?
J: Bagi 2026, kita mengoptimumkan dana yang ada dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melabur dalam ekonomi bagi merangsang ekonomi. Pada masa sama, kita juga mengoptimumkan dana dengan badan berkanun ataupun syarikat kerajaan. Contohnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), salah satu daripada badan berkanun kerajaan akan melabur untuk Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, memperkasa Pusat NADI dan pusat data awan kerajaan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula akan menggunakan RM500 juta daripada rizabnya untuk membaiki gerai, pasar dan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Projek kecil seperti ini akan memberi kesan limpahan segera kepada ekonomi tempatan.
S: Bagaimana kedudukan fiskal keseluruhan kini?
J: Pada 2021 hingga 2022, paras defisit sekitar 6.4 peratus hingga 5.5 peratus. Pada masa itu, pinjaman baharu adalah RM100 bilion. Selepas itu, Kerajaan MADANI komited membuat pembaharuan fiskal. Defisit dikurangkan kepada lima peratus tahun 2023 dan 4.1 peratus tahun 2024. Tahun ini, Kerajaan yakin akan dapat mencapai sasaran 3.8 peratus dan selanjutnya tahun depan 3.5 peratus. Jika mengatasi paras jangkaan ini (3.5 peratus), itu dianggap bonus. Pentingnya adalah penurunan defisit dilakukan secara berperingkat dan mampan.
S: Secara keseluruhan, apa mesej utama kerajaan kepada rakyat?
J: Disiplin fiskal dan pembaharuan ekonomi terus dilaksanakan dengan konsisten bagi mengukuhkan keyakinan pelabur supaya terus membuat pelaburan yang memacu pembangunan ekonomi. Kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara bukan saja mampan, tetapi turut meningkatkan taraf hidup rakyat bagi setiap lapisan masyarakat bagi melalui pendekatan MADANI yang menekankan tatakelola, transformasi ekonomi dan keadilan sosial.
(Web Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1466672/defisit-negara-turun-hutang-kekal-terkawal)

