Mengenai SJPP
Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. SJPP dimandatkan dan bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir Skim-Skim Jaminan Kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang telah diumumkan dalam Bajet belanjawan 2009 bagi membolehkan syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan akses kepada kemudahan-kemudahan pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan yang terlibat.
Memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap Skim-Skim Jaminan Kerajaan ini, Kerajaan Malaysia telah meneruskan usaha memberikan skim jaminan ini kepada syarikat-syarikat PKS sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan Malaysia semenjak tahun 2009. Kerajaan juga berharap pihak institusi-institusi kewangan di Malaysia dapat menyediakan lebih banyak kemudahan pembiayaan dan akses kepada kredit serta menggalakkan institusi-institusi kewangan agar menawarkan kadar faedah, terma dan syarat yang lebih menarik kepada syarikat-syarikat PKS. Dengan inisiatif ini, Kerajaan Malaysia dapat menjalinkan kerjasama lebih erat dengan institusi-institusi kewangan agar dapat memberikan penyelesaian alternatif kepada syarikat-syarikat PKS yang menghadapi masalah cagaran. Dengan jalinan dan kerjasama tersebut, Kerajaan berharap dapat mengurangkan masalah yang membelenggu kebanyakan syarikat-syarikat PKS hingga kini.
SJPP diuruskan oleh Prokhas Sdn Bhd yang juga merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.