
Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Pada tahun 2014, kami mempunyai idea untuk membuka sebuah kafe untuk kalangan anak-anak muda, orang dewasa dan juga warga emas sebab pada masa itu tidak ada banyak kafe di kawasan ini. Pada mulanya, kami hanya menyediakan pencuci mulut, kopi dan makanan ringan. Namun, dengan perkembangan perniagaan kami pada tahun 2017 dari satu lot kedai sudut kepada 2 lot kedai yang bersebelahan, kami telah menambahkan pelbagai hidangan yang terdiri daripada masakan Asia dan Barat untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Pada tahun 2018, kami telah membuka 2 lagi kedai di Suria Sabah dan Imago Shopping Mall. Di situ, kami menyediakan kek, pencuci mulut dan minuman sebagai tempat bersantai untuk para pembeli di pusat membeli belah itu.
Apakah kekuatan syarikat anda?
Kafe kami mula terkenal apabila kami melancarkan aiskrim Matcha yang rasanya telah kami ubah suai agar sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia. Lagipun, saya (Pn Jane) sangat menyukai Matcha. Kemudian, kami mempelbagaikan siri Matcha kepada minuman juga. Selain itu, pasta kami juga merupakan salah satu hidangan istimewa dan hidangan terlaris di kafe kami. Kini, kami mempunyai 18 jenis pasta, antaranya adalah ketam tempurung lembut, itik salai karbonara dan aglio olio ayam sebagai hidangan popular kami. Kami juga sajikan pasta vegan untuk memenuhi keperluan pelanggan vegetarian.
Kami sentiasa memperkenalkan hidangan baru dalam menu kami dan pada masa yang sama, kualiti makanan juga dikekalkan dan diutamakan.
Kami juga mengeluarkan SOP mengenai penyediaan makanan supaya kualiti dapat dikawal, dan ia juga dijadikan panduan untuk tukang masak yang baru.
Kami tidak menawarkan daging dan lemak khinzir. Oleh itu, kafe kami terdiri daripada pelanggan yang berbilang kaum yang dilayani oleh pekerja yang ramah dalam persekitaran yang selesa.
![]() |
|
Crowd 99 Café menghidangkan pelbagai hidangan Asia dan Barat juga |
"Kita harus keluar dari zon selesa untuk menghadapi cabaran baru"
|
Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh perniagaan?
Sebagai perintis di kawasan ini ketika perniagaan ini dimulakan, perjalanan kami cukup lancar sehinggalah beberapa tahun kemudian, kami mula menghadapi pesaing-pesaing baru. Kini terdapat lebih daripada 10 kafe di kawasan ini. Kami perlu menawarkan lebih banyak jenis makanan seperti makanan Barat, masakan Asia dan ais cukur, serta mencipta rasa dan pilihan yang berbeza untuk menarik dan mengekalkan pelanggan-pelanggan kami. Perkhidmatan yang baik dan harga yang berpatutan juga merupakan kunci bagi mengekalkan minat dan tarikan untuk pelanggan-pelanggan kami.
Apakah pengalaman anda ketika pandemik COVID-19?
Perniagaan kami telah menurun sebanyak 60% hingga 70% sejak PKP pertama diumumkan. Kami dapati kos tertinggi pada masa itu adalah gaji pekerja dan kami tidak mempunyai pilihan selain mengurangkan gaji pekerja. Walau bagaimanapun, kami menjalankan jadual giliran kerja yang setara dengan pengurangan gaji mereka. Dengan pelaksanaan ini, kami dapat mengawal kos dengan tepat dan pada masa yang sama, dapat mengelakkan pekerja-pekerja kami daripada diberhentikan.
Selain itu, kami juga mengurangkan penggunaan utiliti seperti menggunakan 1 peti sejuk berbanding 2 kerana tidak banyak bahan yang perlu disimpan. Kami cuba mengoptimakan penyimpanan bahan, kerana sebelum ini kami menghadapi pembaziran bahan mentah yang tinggi disebabkan oleh PKP.
Kami juga mula menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan serta penghantaran sendiri, dan juga meningkatkan penjualan dengan memberikan promosi yang menarik. Usaha lain yang juga kami lakukan adalah dengan penyediaan makanan beku siap seperti daging perap, daging ayam dan makanan ringan untuk diedarkan ke pasar segar dan pasar raya seperti Foodmart.
"Anda mesti mempunyai minat dan ‘passion’ dalam apa jua anda lakukan atau ingin dilakukan"
|
![]() |
|
Pemandangan malam di Crowd 99 Café |
Apakah rancangan anda untuk masa depan?
Kami merancang untuk membuka lebih banyak kedai dan juga mengubah konsep kafe kami dengan menjadikannya lebih menarik bagi pelanggan-pelanggan di kawasan-kawasan lain. Kami juga akan menambah lebih banyak variasi makanan dalam menu kami seperti tart telur Portugis, roti keju bawang putih Korea dan pau ayam Hainan. Oleh kerana terdapat pertanyaan mengenai kafe kami, kami mungkin akan ceburi aspek francais jikalau ada rakan kongsi yang bersesuaian di masa depan.
![]() |
![]() |
Nasihat saya (En. Aaron) adalah anda mesti mempunyai minat dan ‘passion’ terhadap apa jua yang anda lakukan atau ingin dilakukan. Bagi usahawan muda, anda harus libatkan diri dalam operasi perniagaan anda agar perniagaan dapat berjalan dengan lancar. Mulalah dari kecil terlebih dahulu jika anda mempunyai kekangan belanjawan supaya anda dapat menimba pengalaman dan pengetahuan serta mendapatkan kepercayaan pelanggan, dan tanamkan keyakinan untuk impian besar di masa hadapan. Sentiasa sesuaikan diri dengan tren terkini seperti transaksi tanpa sentuhan dan pembayaran E-dompet. Berani untuk gagal, belajar dari kesilapan lalu dan tentunya anda akan berjaya. |
|