
Siapa sangka sisa minyak sawit mampu menghasilkan pulangan ekonomi menarik yang memberi manfaat sejagat, secara tidak langsung mengatasi masalah membabitkan pencemaran alam sekitar. Keupayaannya dalam menghasilkan produk nilai tambah mula dilihat sebagai sumber utama yang mampu melestarikan ekonomi. Puan Amila Kamarudin dan Puan Ariati Muhammad dari Gamalux Sdn Bhd (Gamalux) berkongsi cerita mengenai perniagaan ini.
Boleh kongsikan latarbelakang perniagaan ini?
Gamalux diasaskan oleh Saeed Ahmed (berbangsa Pakistan) pada tahun 1994, dan kemudiannya digantikan oleh anaknya iaitu Usman Ahmed pada tahun 2003. Kemudian, pada tahun 2019, keluarga Muthusamy (warganegara Malaysia) telah mula melabur di syarikat ini dan menjadikan mereka sebagai pemegang saham majoriti syarikat Gamalux.
Kami terlibat dalam aktiviti perdagangan dan eksport produk berasaskan sisa minyak sawit dan oleokimia.
Produk utama kami adalah Minyak Sawit Mentah Bebas Lemak Tinggi (HIFFA CPO), Minyak Asam Kelapa Sawit (PKAO), Efluen Kilang Minyak Kelapa Sawit (POME), Oleokimia, Biodiesel dan Residu Kilang. Produk-produk kami telah digunakan sebagai bahan mentah bagi industri petrokimia untuk pengeluaran sabun, mandian, dan lain-lain.
Kami mengeksport produk-produk kami dalam kuantiti yang besar menggunakan kontena muatan penuh, flexi-bag dan tangki ISO ke beberapa negara di Asia dan Eropah, antaranya adalah Pakistan, India, Sri Lanka, Korea, China, Singapura, Itali, Sepanyol dan United Kingdom.
Apakah kekuatan produk dan perkhidmatan Gamalux?
Kami percaya kami telah membina reputasi yang utuh dalam industri teknologi hijau. Produk-produk kami adalah 100 peratus sisa minyak sawit. Seperti sedia maklum, Kesatuan Eropah (EU) mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh dieksport ke pasaran EU selepas tahun 2020. Jadi, produk-produk kami boleh dieksport ke pasaran Eropah sehingga kini.
Selain itu, dengan memiliki sijil dari International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) dan National Italian Scheme, kami mempunyai kelebihan untuk memasarkan produk kami di sana.
![]() |
|
Produk-produk Keluaran Gamalux |
Bagaimakah caranya Gamalux memastikan pelanggan sedia ada kekal setia?
Sebelum pandemik Covid-19 mengancam dunia, pengurusan atasan Gamalux sentiasa mengunjungi para pelanggan yang berada luar negara bagi memastikan hubungan baik terus terpelihara selain memastikan mereka berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan kami.
Selain itu, Gamalux aktif menghadiri pelbagai persidangan berkaitan industri minyak sawit di peringkat nasional, mahupun antarabangsa.
Melalui persidangan ini, kami boleh mengeratkan hubungan sesama pemain industri, mendapatkan pelanggan baru selain berbincang berkaitan keperluan pasaran.
Apakah cabaran utama dalam perniagaan ini?
Pusingan modal kerja yang terhad, kos perbaharui sijil dan lesen yang mahal, serta cabaran risiko turun naik harga komoditi.
Apakah perancangan masa depan Gamalux?
Pada masa hadapan, Gamalux bercadang untuk mengeksport produk kami ke beberapa negara Eropah yang lain, antaranya adalah Belanda dan Finland. Selain itu, kami juga bercadang untuk melibatkan perniagaan dalam industri pembuatan. Pada masa ini, kami sedang membina dua kilang untuk menghasilkan produk dan bahan mentah berbeza di West Port Klang iaitu Solvent Extraction Plant (SEP) dan Specialized Physical Refinery (SPR).