Glories Gadget (M) Sdn Bhd
Image

Boleh kongsikan latarbelakang perniagaan anda?
Perjalanan perniagaan saya bermula pada tahun 2013 semasa masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dengan menjual produk gajet seperti powerbank yang sedang menjadi trend ketika itu. Saya memulakan perniagaan secara dalam talian dan di pelbagai acara promosi, mendapatkan bekalan dari pembekal tempatan sebelum beralih ke pembekal China.

Pada tahun 2015, selepas tamat pengajian, saya membuka kedai kecil di Kota Tinggi, dan dengan permintaan yang semakin tinggi serta persaingan yang rendah, saya berjaya mengembangkan perniagaan. Pada tahun 2016, saya membuka lot kedai yang lebih besar di Kota Tinggi, diikuti cawangan kedua di Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada tahun 2017, dan terus membuka satu cawangan baru setiap tahun sehingga tahun 2020.

    Gudang di Johor Bahru

Apa yang membuatkan produk anda unik?
Keunikan perniagaan kami terletak pada adanya servis membaiki telefon yang dibuka 24 jam, di mana servis ini disediakan oleh pihak ketiga yang menyewa ruang dalam kedai kami.

Selain itu, kami menawarkan jaminan produk yang panjang, kebanyakan produk kami mempunyai jaminan selama setahun atau lebih. Malah, untuk produk semurah RM5 sekalipun, kami tetap memberikan jaminan selama setahun, terutamanya untuk barangan elektronik.

Bagaimana anda mengiklankan perniagaan anda?
Kami mengiklankan perniagaan dengan mengadakan acara promosi setiap suku tahun, dan buat masa ini, kami fokus menggunakan TikTok.

Sebelum tahun 2022, kami banyak bergantung pada Facebook, tetapi sejak 2023, TikTok menjadi platform utama kerana kandungan di TikTok sangat membantu mempromosikan perniagaan kami. Sebagai contoh, untuk acara yang akan datang dalam satu hingga dua minggu, iaitu promosi "beli dua percuma tiga," posting kami telah meraih hampir satu juta tontonan. Jabatan pemasaran kami bertanggungjawab menguruskan media sosial, dan selain itu, kami juga memasarkan produk gajet melalui Shopee dan TikTok Shop.


“Malah, untuk produk semurah RM5 sekalipun, kami tetap memberikan jaminan selama setahun, terutamanya untuk barangan elektronik.."

Jika anda mempunyai satu nasihat untuk usahawan baru, apakah itu?
Nasihat saya untuk usahawan baru ialah melakukan perniagaan secara berperingkat atau mengikut tahap. Pengalaman terbesar kami ialah pada tahun 2021, ketika kami membuka cawangan di Petaling Jaya dengan pelaburan dalam lingkungan RM6 juta. Dengan sewa sebanyak RM120,000 sebulan, kami habiskan jumlah pelaburan tersebut dalam tempoh dua tahun. Ia merupakan cabaran besar kerana kami turut menjalankan kolaborasi dengan F&B dan menyediakan ruang acara. Pengajaran utama ialah jangan tergesa-gesa dalam perancangan, kerana jika kita tidak benar-benar bersedia, kita boleh terperangkap. Keadaan perniagaan sentiasa berubah, terutamanya dalam era TikTok di mana trend boleh naik dan jatuh dengan pantas. Oleh itu, setiap langkah dalam perniagaan harus dilakukan secara teratur dan mengikut kemampuan semasa.

    Ahli pasukan Batu Pahat
    Encik Farouk bersama unit Pembangunan Perniagaan

    Ahli pasukan Bandar Baru Uda