Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Al-Hirah merupakan sebuah perniagaan keluarga sejak 1999 dan telah beroperasi lebih dari 20 tahun. Pada mulanya, kami berniaga menjual minyak sawit, dan semenjak 2010, kami mula menghasilkan produk minyak masakan seperti minyak sawit. Di samping itu, kami turut menghasilkan produk agro seperti bijirin, beras, bijian kering, rempah dan tepung yang kami import dari Eropah. Pada masa ini, kami mempunyai sebuah kilang di Pelabuhan Klang dan merancang untuk memiliki kilang pintar sebagai inisiatif untuk mengembangkan perniagaan dalam masa terdekat.
Apakah keunikan produk anda?
Kami fokus kepada kualiti produk di mana warna produk minyak sawit kami sangat jernih dan tidak mudah lentur menjadi keruh. Untuk makluman, kami merupakan pengeluar OEM dan pada masa yang sama kami memiliki jenama produk sendiri iaitu Twin Chef dan Al-Hirah. Kami telah pun mengeksport produk kami ke lebih daripada 40 buah negara di benua-benua seperti Afrika, Eropah, Timur Tengah dan Asia. Kami juga merupakan pembekal tunggal untuk produk minyak masak ‘Hafeez’, sebuah produk keluaran Muslim yang berkualiti tinggi.
Bagaimanakah cara anda mempromosikan produk?
Kami menjaga hubungan yang sangat baik dengan pelanggan-pelanggan kami terutama Maahad-Maahad Tahfiz di seluruh negara, Malakat Mall di Cyberjaya dan pasar mini di sekitar Lembah Klang. Selain itu, kami turut melaksanakan promosi di pelantar media sosial serta kumpulan/ persatuan produk Muslim dan Halal.
Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh perniagaan?
Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi terutamanya apabila kami mengeksport produk kami ke luar negara. Antaranya adalah kami sentiasa perlu jaga piawaian, kualiti, permintaan, persaingan serta sensitiviti harga produk. Oleh itu, kami banyak menekankan usaha R&D dan meluaskan pengetahuan untuk kami agar lebih berdaya maju dan mengembangkan perniagaan kami.
“Untuk bersaing di peringkat global, kualiti, harga dan pengetahuan produk adalah kunci utama” |
Al-Hirah berusaha untuk mencapai piawaian tinggi bagi mendapatkan keyakinan daripada pelanggan-pelanggan mereka |
Apakah pengalaman anda semasa musim Covid-19?
Kami masih meneruskan pengeluaran produk kami kerana ianya adalah produk keperluan asas pengguna. Kebanyakan bekalan minyak kami datangnya dari kilang penapisan tempatan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dihadapi oleh pihak kami seperti sekatan perjalanan yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami sangat bersyukur kerana pelanggan-pelanggan kami menghargai kualiti produk kami dan tetap membuat tempahan walaupun ketika waktu sukar sebegini.