Pengurusan syarikat, perancangan jangka pendek dan panjang adalah sangat penting bagi sesebuah perniagaan untuk memastikan syarikat kekal fokus dan berada di landasan yang tepat bagi mencapai visinya. Ikuti temubual bersama Pengarah Operasi DSA Dynamics (M) Sdn Bhd, Encik Shahril Najmiddin Muda bagi mengetahui tips pengurusan syarikat dengan baik.
Boleh kongsikan latarbelakang perniagaan anda?
DSA Dynamics (M) Sdn Bhd (DSA Dynamics) mula beroperasi pada tahun 2003 sebagai pengeluar barangan plastik berskala kecil. Kilang kami terletak di Marang, Terengganu dan memiliki beberapa mesin pembuatan dan pengeluaran. Perniagaan ini bermula apabila sebuah syarikat farmaseutikal memerlukan produk botol plastik untuk mengisi cairan produk perubatan.
Sejak itu, kami berkembang dan pada tahun 2014, kami membeli kilang di Klang, Selangor. Pada tahun 2020, kami menemui pasaran baru, di mana kami menghasilkan botol bagi mengisi produk pencuci pakaian.
Pada masa ini, kami mempunyai 70 orang kakitangan di Marang dan Klang. Kami mengupah pekerja tempatan untuk operasi kilang di Marang. Di Klang pula, kami mengupah pekerja asing sebagai operator kilang.
Apakah cabaran menguruskan kilang di Marang dan Klang?
Perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah memastikan produk kami mencapai tahap kualiti dan piawaian yang ditetapkan oleh industri. Sebagai contoh, industri farmaseutikal menetapkan piawaian yang ketat bagi memastikan produk perubatan mereka dalam keadaan baik apabila di isi ke dalam botol plastik kami.
Selain itu, kami menghadapi cabaran dari segi pengurusan sumber manusia. Ianya amat penting bagi memastikan operasi kilang tidak terjejas sama sekali.
Kami juga harus memastikan syarikat sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa. Sebagai contoh, kami memerlukan mesin pembuatan yang canggih dan mampu menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi.
Pengurusan dan Kakitangan DSA Dynamics. |
Boleh kongsikan pengiktirafan, penghargaan dan anugerah yang diterima oleh DSA Dynamics? DSA Dynamics telah menerima beberapa pengiktirafan, penghargaan dan anugerah. Antaranya, kami telah memenangi anugerah Vendor Terbaik di bawah UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) pada tahun 2018. Kami aktif menyertai program anjuran UMW, termasuklah latihan, 5S dan program pengurusan kejat (lean management). Kami juga telah memenangi Anugerah Usahawan Terengganu pada tahun 2011 dan beberapa penghargaan dan pengiktirafan dari universiti - universiti tempatan. Pada pandangan saya, bagi memastikan syarikat kekal relevan dalam industri, kami perlu aktif menghadiri kursus anjuran agensi tempatan dan antarabangsa. Seterusnya, mempraktiskan ilmu yang diperolehi di syarikat kami. Pendedahan ilmu ini membolehkan kami menambahbaik aliran proses kerja dan kualiti produk kami. Boleh kongsikan tiga tips bagi menguruskan syarikat dengan baik? Pertama, pengurusan kakitangan. Kami sentiasa menanamkan pemahaman kepada kakitangan bahawa prestasi dan pencapaian syarikat adalah tanggungjawab bersama. |
Sebagai contoh, semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 dilaksanakan pada Mac 2020, syarikat terpaksa mengurangkan kapasiti pekerja di kilang dan ianya telah menyebabkan produktiviti yang menurun. Impaknya, kami terpaksa memotong gaji kakitangan. Walaubagaimanapun, apabila syarikat meraih keuntungan, kami berkongsi keuntungan tersebut bersama para pekerja, ianya merupakan salah satu bentuk penghargaan kami kepada mereka. Pada tahun ini, kami juga menetapkan sasaran kepada mereka, dan jika sasaran itu tercapai, sudah tentu penghargaan akan diberikan. Kedua, mengaplikasikan prinsip Kaizen. Kaizen berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud Penambahbaikan Berterusan (Continuous Improvement). Secara ringkas, Kaizen ialah budaya kerja harian yang memberi fokus kepada usaha menambahbaik secara berterusan di dalam sesuatu proses atau cara kerja di setiap keseluruhan bahagian, dan ianya melibatkan usaha semua kakitangan DSA Dynamics. Sasaran penting ialah menyingkirkan pembaziran (waste) dan seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti. |
Produk dari Kilang DSA Dynamics |
Pelaksanaan prinsip ini telah menghasilkan peningkatan seperti produktiviti, kualiti produk dan perkhidmatan, keselamatan tempat kerja lebih baik, pesanan dari pelanggan DSA Dynamics dapat disiapkan tepat pada masanya, pelanggan kami berpuas hati, dan kerja menjadi lebih mudah. Tips saya yang ketiga adalah khas untuk syarikat dalam industri pembuatan. Kami mempunyai rancangan strategi transformasi jangka panjang. Antara strateginya adalah melabur dalam teknologi, kerana kami percaya jika kami enggan melabur, kami akan jauh ketinggalan berbanding pemain-pemain industri yang lain. Kongsikan rancangan masa depan DSA Dynamics? Kami merancang untuk meningkatkan produktiviti kami. Kami juga merancang untuk merebut peluang dalam pasaran yang lebih besar. Melangkah ke hadapan, kami akan melabur dalam teknologi baru dan automasi penuh. |
Dengan itu, kitaran penghasilan produk akan lebih cepat dan kos operasi akan menjadi lebih rendah. Sekiranya perkara ini tercapai, kami akan menjadi lebih kompetitif dalam pasaran, seterusnya dapat menawarkan harga yang lebih rendah kepada para pelanggan kami. Nasihat untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan? Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan ketika pandemik ini, cubalah perniagaan yang tidak mempunyai kos operasi yang tinggi. Sebagai contoh, jual produk dari rumah anda dan seterusnya mempromosikan produk tersebut dalam platform digital, antaranya adalah media sosial, e-dagang seperti Shopee dan Lazada. Di Malaysia, perkhidmatan penghantaran sangat meluas dan mudah. Jadi, optimumkan peluang yang ada dan gunakanlah rantaian ini untuk perniagaan anda. |
Encik Shahril Bersama Kakitangan DSA Dynamics di Kilang, Marang. |