PENULARAN wabak Covid-19 telah memaksa kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020. Berikutan itu, terdapat banyak syarikat yang terjejas termasuklah sebuah syarikat yang terlibat dalam operasi pengurusan dan pemulihan hutang seperti Maysky (M) Sdn Bhd (Maysky).
Walaupun syarikat ini telah beroperasi sejak 2005 lagi, Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada pengoperasian harian syarikat. Pengorbanan dan kejayaan syarikat ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Izz Al- Din Maslan.
Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Maysky merupakan perniagaan yang dimulakan oleh ayah saya, iaitu pada tahun 2005. Telekom Malaysia merupakan antara pelanggan terawal syarikat ini, di mana kami perlu mengutip hutang para pelanggan Telekom Malaysia. Kemudian syarikat kami berkembang dengan memiliki pelanggan-pelanggan dari pelbagai industri termasuklah institusi kewangan, telekomunikasi, utiliti, pendidikan dan sebagainya.
Pengalaman pekerjaan saya adalah dalam sektor perbankan, pembroker saham dan juga pendidikan. Walaupun begitu, pada tahun 2015, saya bersetuju untuk mengambilalih perniagaan ini.
Sehingga kini, Maysky telah mempunyai beberapa cawangan di Selangor serta di Sabah.
Setakat Februari 2021, Maysky mempunyai 110 kakitangan yang bertindak sebagai pegawai pemulihan kredit atau telemarketer, pemungut hutang dan pegawai pentadbiran.
Apakah pengalaman anda ketika menghadapi Covid-19?
Mac 2020 merupakan sejarah yang getir buat usahawan kerana tiada siapa pernah menyangka PKP akan berlaku. Memandangkan pengurusan dan pemulihan hutang bukanlah merupakan perniagaan penting (essential services), kami terpaksa meminta kakitangan untuk mengambil cuti tanpa gaji bermula Mac hingga Jun 2020, ianya bukanlah keputusan yang mudah, tetapi kami terpaksa akur dengan syarat-syarat PKP.
“Fokus, kakitangan, nilai dan kepercayaan yang kuat adalah kunci kejayaan”
|
Maysky menyediakan latihan dan kursus berterusan untuk meningkatkan nilai tambah dan kemahiran kakitangan |
Maysky beroperasi di Shah Alam, Petaling Jaya dan Kota Kinabalu |
Sebagai seorang pemimpin di Maysky, saya amat prihatin dengan nasib kewangan kakitangan Maysky. Rasa sungguh bersyukur apabila kerajaan memberikan insentif kewangan melalui PERKESO kepada kakitangan yang terjejas dari segi pendapatan.
Pada pertengahan Jun 2020, kami mula beroperasi kembali. Cabaran buat Maysky adalah berhadapan dengan masalah ketidakcukupan anggota kakitangan apabila ada di antara mereka telah mendapat pekerjaan baru, dan ada juga mengambil keputusan untuk balik ke kampung.
Meskipun keadaan ekonomi bertambah baik dalam tempoh PKP Pemulihan, kami dapati masih ramai penghutang tidak berupaya membayar hutang pada masa tersebut dan walaupun sememangnya tugas kami untuk mengutip hutang tetapi kami juga faham dengan situasi mereka.
Apakah kekuatan perniagaan anda?
Kunci utama kejayaan Maysky adalah mempunyai kakitangan yang berkaliber dan komited. Mereka adalah aset kepada syarikat.
Untuk itu, penting bagi saya untuk mengurangkan kadar berhenti kerja di kalangan kakitangan dengan menawarkan gaji yang setimpal kepada kakitangan yang layak.
Selain itu, kami memberi latihan dan kursus berterusan kepada kakitangan untuk meningkatkan nilai tambah dan kemahiran mereka.
Apakah perancangan masa depan Maysky?
Bagi memastikan Maysky terus mampan dalam era digital, kami mendigitalkan proses perniagaan kami. Kami telah beroperasi sepenuhnya menggunakan Sistem Pengurusan Hutang terkini. Perisian ini adalah mesra pengguna dan telah membolehkan agen melaksanakan tindakan susulan harian kepada penghutang. Kami amat bersyukur kerana kerajaan memberi bantuan dan insentif seperti skim jaminan kerajaan yang diuruskan SJPP.
Selain itu, kami juga berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan Maysky di seluruh negara. Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 15 pelanggan utama dari pelbagai sektor.
Pada tahun 2021, kami menyasarkan untuk menambah lebih ramai pelanggan dari industri perbankan. Selain itu, kami juga berhasrat memperluaskan lagi portfolio perniagaan dalam bidang pembelian hutang (debt purchase). Kami mahu membeli portfolio hutang dari bank, institusi kewangan dan perusahaan-perusahaan lain bagi menjalankan proses pemulihan hutang (debt recovery). Apakah nasihat anda kepada usahawan baru? |
Sebagai usahawan, mereka mesti mempunyai matlamat yang jelas. Kedua, mereka perlu tahu apakah aset perniagaan mereka. Dengan itu, mereka akan tahu apakah keutamaan bagi perniagaan mereka. Sebagai contoh, di Maysky, kakitangan merupakan aset terpenting, jika kakitangan menunjukkan prestasi terbaik, sudah tentu para pelanggan gembira. Ketiga, mereka perlu mempunyai nilai dan kepercayaan yang kuat, ia penting untuk memastikan mereka sentiasa bermotivasi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. |
Maysky berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan dan memperluaskan portfolio perniagaan. |