Tonasco Malaysia
Image

Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Saya memulakan kerjaya dalam bidang Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat multinasional dalam industri farmaseutikal di Singapura. Selepas beberapa tahun, saya membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan kerjaya di sebuah firma khidmat nasihat yang berpangkalan di Singapura, di mana saya berpeluang untuk berkerjasama dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (‘GLC’) dan syarikat multinasional (‘MNC’) dari pelbagai industri termasuklah industri minyak & gas, telekomunikasi, dan perbankan. Selepas itu, saya memulakan perniagaan dalam bidang perundingan dan latihan, dan mempunyai pelanggan-pelanggan seperti Maybank dan Bonia.

Pada tahun 2006, saya dan suami Toon, melihat peluang untuk mengeksport komponen berketepatan tinggi ke Eropah. Kelebihan kami adalah apabila dapat menyediakan permintaan tesebut menggunakan tenaga kerja mahir dengan kos yang lebih rendah. Toon bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber teknikal di rantau ini dengan sebuah syarikat konglomerat teknologi di Belanda. Kami percaya, dengan menggabungkan kekuatan Toon sebagai jurutera indsutri dalam pembangunan teknikal, dan juga kekuatan saya dalam bidang pemasaran, pastinya akan memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan perniagaan kami.

Apakah keunikan syarikat anda?
Kami sedar betapa pentingnya untuk membezakan syarikat kami daripada syarikat-syarikat lain dan untuk mempunyai keunikan tersendiri bagi produk kami. Slogan pertama kami adalah “pembuatan pelbagai bahagian-bahagian (‘parts’) berkuantiti rendah, berkos rendah tetapi berjitu dan berkualiti yang tinggi”.

“Bezakan syarikat sendiri dengan keunikan tersendiri dikalangan syarikat-syarikat lain…”
   Kelebihan Tonasco yang unik adalah pada penghasilan barangan kecilan (single piece), barangan berketepatan/ berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif


Lazimnya, negara-negara Asia terkenal dalam pembuatan dan penghasilan dalam kuantiti tinggi dengan kos rendah, tetapi kualitinya bermutu sederhana.

Kami menggunakan kelebihan Malaysia dalam faktor tenaga buruh mahir yang berkos rendah supaya kami dapat menghasilkan bahagian-bahagian di mana hanya 1 unit diperlukan oleh pelanggan-pelanggan (‘single piece parts’) dengan kos yang rendah. Selain itu, kami mengutamakan dan memberikan perhatian kepada kawalan kualiti dengan menubuhkan pasukan yang khusus untuk memastikan kualiti dan piawaian yang ditetapkan. Kami menjaga keyakinan pelanggan-pelanggan kami sebagai pengilang yang bertanggungjawab dan sentiasa konsisten dalam memberikan produk dan perkhidmatan yang terbaik.


Apakah pengalaman anda ketika pandemik COVID-19?
Ekonomi negara kita telahpun menunjukkan penurunan sebelum pandemik ini berlaku. Pengalaman kita sewaktu krisis ekonomi yang berlaku ketika tahun 2008 memberikan kita pelbagai pengajaran dan ini memberikan kita keyakinan untuk segera bertindak demi kepentingan syarikat kami.

Semasa tempoh berkurung PKP, kami dengan pantasnya mengadakan banyak perbincangan dengan pelanggan-pelanggan kami dan berkongsi langkah-langkah mitigasi dan solusi yang terbaik buat masa itu. Pada ketika itu, pasaran Eropah belum lagi terjejas teruk, dan kami tidak menyangka bahawa seluruh dunia akan terkesan dengan impak pandemik ini.

Kemudian, kami terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos untuk terus kekal. Di sinilah kami bergantung kepada kerjasama pasukan yang kuat, dimana kami memperkasakan pihak pengurusan untuk mengkaji dan mencari jalan untuk menyelamatkan syarikat. Melibatkan pekerja-pekerja kami dalam proses membuat keputusan ini sedikit sebanyak membantu mereka untuk memahami implikasi-implikasi kepada syarikat kami dan sebab-sebab keputusan tertentu perlu diambil. Kami terpaksa memberhentikan beberapa pekerja dan memerlukan pekerja-pekerja operasi lain untuk mengambil alih tugasan tambahan. Mereka berasa sedih melihat rakan-rakan mereka terpaksa meninggalkan syarikat.

Dari awal lagi kami kerapkan berkomunikasi sebanyak mungkin untuk mengekalkan semangat berpasukan terutamanya pada masa sukar ini.

Apakah rancangan anda yang seterusnya?
Kami seharusnya memikirkan semula rancangan kami. Sememangnya kami tidak lagi boleh menjalankan cara pemasaran yang tradisional, contohnya pameran atau ekspo, mesyuarat secara fizikal dan sebagainya.

Kini, kami lebih menggunakan kaedah digital dan persidangan video untuk mendekati pelanggan-pelanggan kami. Kami lebih aktif di media sosial juga. Kami bernasib baik kerana teknologi sudah sedia ada bagi memenuhi keperluan syarikat kami.

   Tonasco terus maju dengan rancangan mereka untuk menubuhkan kilang pintar bagi menghasilkan lebih banyak produk berteknologi tinggi dengan kekemasan yang berkualiti tinggi


Mudah-mudahan, apabila keadaan bertambah baik pada tahun hadapan, kami dapat terus mengunjungi secara fizikal dengan pelanggan-pelanggan kami kerana ia sangat penting. Saya akui, dengan menggunakan teknologi, kami dapat menjimatkan kos perbelanjaan, namun dalam perniagaan, kita tidak akan terlepas daripada melakukan interaksi bersemuka untuk menjalinkan perhubungan yang baik.


Kami merancang untuk mendigitalkan operasi kami dan melaksanakan proses automasi. Dengan adanya automasi, kami dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, dan saya dapat tumpukan kepada pekerja-pekerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

Dalam situasi pada masa ini, pekerja-pekerja mula menjadi lebih efisien, bersedia dan lebih bersemangat untuk melaksanakan tugasan mereka kerana mereka tahu mereka perlu bertahan. Rancangan masa hadapan kami untuk pelaburan selanjutnya juga akan diteruskan, kami telah mula berkerjasama bersama dengan MIDA dan MATRADE untuk meneroka program-program yang bersesuaian dengan syarikat kami. Baru-baru ini, kami telah menyempurnakan penilaian yang dilakukan oleh MIMOS berkenaan dengan kesiapsiagaan kami menuju ke arah IR4.0. Pihak kerajaan sentiasa menyokong industri automasi dan digital.


Apakah nasihat anda kepada usahawan-usahawan baru di luar sana?
Bergantung kepada tahap kesiapsagaan dan kematangan perniagaan anda, anda perlu sentiasa memperbaiki diri dan menambahbaikkan produk atau perkhidmatan perniagaan anda kerana pasaran luar akan sentiasa berubah-ubah mengikut peralihan masa. Selain itu, anda haruslah peka terhadap apa yang berlaku di persekitaran anda dan sentiasa kekal relevan kepada pasaran dan pelanggan-pelanggan anda. Terokai bidang baru dan sentiasa berinovasi secara berterusan, bukan hanya untuk diri sendiri malah untuk syarikat anda dan juga secara keseluruhan.